Banjir: Tiada cadangan tangguh SPM di Johor

Norlizah (kiri) ketika melawat pusat pemindahan sementara di sekitar Kota Tinggi.
Norlizah (kiri) ketika melawat pusat pemindahan sementara di sekitar Kota Tinggi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada cadangan untuk menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi negeri Johor susulan banjir yang masih melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya sepanjang pelaksanaan peperiksaan SPM bermula pada 8 Januari ini.

Katanya, persediaan itu termasuklah kerjasama antara kerajaan negeri dan JPNJ dalam Ops Payung bagi memastikan kelancaran peperiksaan SPM kali ini.

"Secara keseluruhan seramai 48,276 pelajar dijangka menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 364 pusat peperiksaan seluruh negeri.

"Setakat Sabtu, sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan institusi pendidikan negeri Johor telah dibuka.

"Enam PPS dibuka di Kota Tinggi, dua di Mersing dan satu di Pasir Gudang

"Sebanyak 32 bilik penempatan di Institusi Pendidikan Johor seperti bilik darjah, surau atau dewan telah digunakan sebagai PPS melibatkan 1,046 mangsa keseluruhan termasuk 235 murid pelajar sekolah telah terkesan akibat banjir yang melanda," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Norlizah, Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia akan membantu membawa calon sekiranya banjir berlaku di jalan menuju ke pusat peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan, peperiksaan SPM akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu, 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris), 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu), 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis).