Banjir: Johor buat persiapan rapi, pastikan calon SPM tak terjejas

Anggota Pertahanan Awam Malaysia meninjau keadaan di sebuah kampung di Mersing yang dinaiki air sejak Khamis.
Anggota Pertahanan Awam Malaysia meninjau keadaan di sebuah kampung di Mersing yang dinaiki air sejak Khamis.
A
A
A

KLUANG - Persiapan lebih rapi dilaksanakan di semua daerah di Johor bagi memastikan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan itu dengan lancar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persiapan menghadapi banjir dibuat sejak November lalu.

"Setiap daerah di Johor pernah berdepan situasi sama ketika SPM berlangsung dan perancangan lebih teratur disusun kali ini bagi melancarkan perjalanan sepanjang minggu peperiksaan.

"Setiap daerah mempunyai cara dan pendekatan mereka mendepani isu tersebut dan tapi insya-ALLAH saya yakin dengan kebijaksanaan dan kepimpinan pegawai-pegawai daerah di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Semarak Subuh Johor di Masjid Al-Mustaqim, Ulu Benut, Simpang Renggam di sini pada Jumaat yang dihadiri kira-kira 200 jemaah.

Onn Hafiz (tengah) menunaikan solat bersama kira-kira 200 jemaah dalam Program Semarak Subuh Johor di Masjid Al-Mustaqim, Ulu Benut, Simpang Renggam, Kluang pada Jumaat
Onn Hafiz (tengah) menunaikan solat bersama kira-kira 200 jemaah dalam Program Semarak Subuh Johor di Masjid Al-Mustaqim, Ulu Benut, Simpang Renggam, Kluang pada Jumaat

Setakat jam 8 pagi Jumaat, bilangan mangsa banjir di Johor terus mencatatkan 1,484 orang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, Program Semarak Subuh Johor dijalankan serentak di semua masjid dan surau melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penyertaan 838 masjid dan 1,942 surau pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Program berkenaan katanya, menggalakkan lebih ramai bangsa Johor yang beragama Islam ke masjid dan surau untuk menunaikan solat subuh.

"Dalam kita mengejar kemajuan dan kemakmuran di Johor, kita tidak boleh melupakan tanggungjawab kita sebagai umat Islam.

"Sebab itu sebagai pemimpin di Johor, kita laksanakan program menyemarakkan masjid-masjid dan surau kita," ujarnya.

Program itu dilaksanakan bagi membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam menunaikan solat subuh jemaah di masjid atau surau, manakala bagi ADUN wanita dan bukan Islam, mereka boleh menghantar wakil dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing.

Pada pembentangan belanjawan Johor tahun lalu, Onn Hafiz memperuntukkan RM560,000 bagi menjayakan 2,688 Program Semarak Subuh Johor di kesemua DUN negeri itu sepanjang tahun ini.