Mangsa banjir di Johor kembali meningkat

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang meninjau keadaan banjir di Kampung Contoh Kahang, Kluang pada Jumaat. Foto ihsan APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang meninjau keadaan banjir di Kampung Contoh Kahang, Kluang pada Jumaat. Foto ihsan APM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Walaupun dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat jam 6 petang, namun mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila seramai 1,153 mangsa daripada 301 keluarga ditempatkan di 11 PPS setakat jam 8 malam pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir didapati meningkat berbanding, 1,146 mangsa daripada 299 keluarga sebelum jam 6 petang.

Bagaimanapun katanya, setakat jam 8 malam Jumaat, tiada PPS baharu yang dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.

"Setakat ini mangsa banjir dilaporkan kembali meningkat dengan eaerah Kota Tinggi masih merekodkan paling ramai iaitu seramai 761 mangsa daripada 191 keluarga berada di tujuh PPS.

"Ini diikuti oleh daerah Mersing dengan 265 mangsa daripada 70 keluarga di dua PPS, Kluang (84 mangsa daripada 28 keluarga di satu PPS) dan Johor Bahru (84 mangsa daripada 12 keluarga di satu PPS)," katanya.

Tambahnya, ketika ini air di Sungai Kahang, Kluang masih berada pada aras bahaya walaupun merekodkan sedikit penurunan kepada 14.50 meter (m) berbanding aras bahaya 14.87.

Sungai-sungai lain pula berada pada aras waspada melibatkan, Sungai Muar di Buloh Kasap yang merekodkan 8.06m berbanding aras bahaya 9.14m, Sungai Segamat di Segamat Kecil, (36.17m berbanding aras bahaya, 37.60), Sungai Siku di Kampung Murni Jaya, Kulai (17.53m berbanding aras bahaya 18.10m), Sungai Paya Dato' Sungai Jemaluang (1. 07m berbanding aras bahaya 2.00m), dan Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat merekodkan 5.41 meter daripada aras bahaya, 6.00m.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan tiada amaran ribut petir di Johor.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hujan lebat berterusan (buruk), diramalkan berlaku di Mersing dan Kota Tinggi.