Festival Seram Buku Prima platform santuni penulis

Orang ramai mengunjungi reruai cederamata sempena Festival Seram Buku Prima pada Jumaat.
Orang ramai mengunjungi reruai cederamata sempena Festival Seram Buku Prima pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Festival Seram Buku Prima merupakan platform untuk menyantuni penulis, pekerja dan peminat yang bertungkus lumus bersama-sama membina nama penerbitan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, festival itu diadakan bukan untuk mengangkat unsur mistik sebaliknya usaha syarikat dalam menghargai para penulis dan pembaca bertemu dengan karyawan yang diminati.

Menurutnya, festival itu dijadikan sebagai pentas untuk mengumpulkan kesemua penggemar karya seram daripada pelbagai industri penerbitan seperti buku, filem, drama dan sebagainya.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, kita beriman bahawa adanya alam selain dari alam nyata yang disebut ghaib. Ingin saya tegaskan bahawa bentuk jin dan syaitan bukan seperti yang digambarkan oleh kebanyakan kita di alam Melayu.

“Tiada yang dapat menggambarkan hakikat itu melainkan apa yang ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW katakan dalam al-Quran.

“Jadi tiada apa yang perlu ditakutkan melainkan kita berpegang kepada ajaran al-Quran dan Hadis,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Tambah Firdaus, festival itu turut diadakan untuk mengangkat semula jenama ‘Buku Prima’ sebagai salah satu buku keluaran Karangkraf sejak tahun 2007 kerana ia merupakan salah satu inprint di bawah GBK.

Kanak-kanak mengunjungi reruai permainan bertempat di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Kanak-kanak mengunjungi reruai permainan bertempat di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di sebalik penganjuran festival seram itu, beliau mahu orang ramai mengambil peluang bahawa bidang seram juga boleh dijadikan sebagai kerjaya.

“Kita bukan nak ketengahkan unsur mistik semata-mata sebaliknya mahu orang ramai melihat acara ini sebagai satu platform yang boleh membantu mereka membina kerjaya.

“Sebagai contoh polis, bomba, pegawai forensik dan produser akan berhadapan dengan momen-momen yang mengerikan,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai sambutan Festival Seram Buku Prima, Firdaus berkata, beliau tidak menyangka acara yang julung kali diadakan mendapat sambutan menggalakkan.

“Walaupun kita adakan hari orang ramai bekerja dan bersekolah, festival ini masih mendapat sambutan. Alhamdulillah, ramai penggemar cerita seram hadir semata-mata mahu merasakan keseronakan acara ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengajak orang ramai untuk turut bersama-sama memeriahkan festival yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini,” ujarnya.