Perak sasar pendaftaran PADU 1.8 juta orang

Mohd Azlan (kanan) menyampaikan ucapan ringkas ketika mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di PEDi Batu 8, Tambun pada Jumaat.
Mohd Azlan (kanan) menyampaikan ucapan ringkas ketika mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di PEDi Batu 8, Tambun pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menyasarkan seramai 1.8 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di negeri itu berdaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang penghujung Mac depan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, sehubungan itu pihaknya sedang mempergiatkan usaha pendaftaran melalui pelbagai saluran termasuk 70 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh Perak.

Menurutnya, sehingga Khamis, jumlah pendaftaran yang direkodkan di negeri itu seramai 45,655 sejak dilancarkan empat hari lalu.

"Alhamdulillah sekarang, Perak berada di tangga ketiga dalam statistik kemas kini PADU di seluruh negara. Jumlah pendaftaran ini kita jangka terus meningkat pada minggu-minggu berikutnya.

"Jadi untuk Perak ini lebih kurang 1.8 juta rakyat negeri Perak ini yang berumur 18 tahun ke atas akan mendaftar. Ini target kita mungkin dalam bulan tiga nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di PEDi Batu 8, Tambun di sini pada Jumaat.

Mohd Azlan berkata, pihaknya juga akan mengadakan taklimat kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu bagi membolehkan mereka membantu memudahkan rakyat mendaftar PADU.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menerima mesej berkaitan PADU bagi mengelak terpedaya oleh sindiket penipuan.

"Saya nak sarankan hati-hati dengan scammer. Jangan percaya dengan mana-mana pautan diterima oleh individu atau pihak yang mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada kemusykilan sila rujuk kepada pihak yang berkenaan ataupun rujuk ke agensi-agensi atau jabatan berkaitan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri," katanya.

Bagaimanapun beliau memaklumkan tiada sebarang laporan diterima mengenai penipuan yang berselindung di sebalik PADU di Perak.