21 kaunter pendaftaran PADU dibuka di NS

Orang ramai mengambil peluang mendaftar PADU di kaunter disediakan di Pasar Malam Taman Galena
Orang ramai mengambil peluang mendaftar PADU di kaunter disediakan di Pasar Malam Taman Galena
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 21 kaunter untuk pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) dibuka di seluruh Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di negeri ini termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seremban sejak Selasa lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Sembilan, Yuslianah Yusof berkata, ia bagi memudahkan orang ramai membuat pendaftaran PADU sekiranya mereka masih belum memahami mengenainya.

"Kita buka secara berfasa dan fasa pertama sedang berjalan yang mana telah dibuka di 19 kaunter di PEDi, di UTC Seremban dan Wisma Persekutuan.

"Ia beroperasi bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 5.30 petang dan ada pegawai ditugaskan untuk membantu," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh beberapa hari dibuka, ada PEDi yang mendapat sambutan dan ada juga yang perlahan kemungkinan masih belum mengetahuinya.

Ujarnya, orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendaftar PADU dan segala maklumat mereka adalah sulit.

"Ada beberapa maklumat yang mereka perlu bawa semasa proses mengemas kini di kaunter bantuan PADU antaranya maklumat bank, maklumat pendapatan dan maklumat komitmen selain kad pengenalan serta salinan kad pengenalan.

"Jadi bagi yang masih ragu-ragu mengenainya, boleh datang ke kaunter disediakan untuk tanya lebih lanjut," katanya ditemui turun padang melawat kaunter PADU di Pasar Malam Taman Galena di sini, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif tersebut dibuat hasil kerjasama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon dengan Jabatan Perangkaan Negeri Sembilan.

Menurut Nicole, perlu lebih banyak kaunter berkenaan dibuka di kawasan tumpuan ramai yang bukan saja dapat memudahkan orang awam mendapatkan akses pendaftaran tetapi juga menggalakkan mereka mendaftar.

"Sebagai permulaan kami membuka kaunter di pasar malam di sini dan mungkin disusuli di Pasar Besar Seremban, Pasar Malam Seremban 2 serta beberapa lokasi tumpuan lain.

"Tapi, saya dimaklumkan hanya kakitangan Jabatan Perangkaan sahaja yang boleh mengawal selia dan membantu orang awam untuk mengisi maklumat menerusi PADU bagi mengelak insiden dan risiko kebocoran data," katanya.