Kepantasan, skil sandaran Harimau Malaya

Faisal (kiri) dan Arif Aiman menjadi sandaran Harimau Malaya untuk merobek gawang lawan pada Piala Asia Qatar 2022. Foto Agensi
Faisal (kiri) dan Arif Aiman menjadi sandaran Harimau Malaya untuk merobek gawang lawan pada Piala Asia Qatar 2022. Foto Agensi
A
A
A

DUO penggempur utama negara, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Faisal Halim mampu untuk mengatasi pertahanan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan yang memiliki fizikal lebih besar dalam saingan Kumpulan E Piala Asia Qatar 2022.

Penganalisis bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus berkata, corak permainan pada zaman moden tidak mengutamakan fizikal semata-mata sebaliknya kepantasan pemain menjadi taruhan pasukan.

Menurutnya, pengendali skuad negara, Kim Pan-gon sudah tentu mempunyai perancangan tertentu untuk menggunakan Arif Aiman dan juga Faisal Halim menerobos benteng kebal lawan.

"Arif Aiman mempunyai teknikal individu dan gelecekan yang baik selain Faisal Halim yang ada kelajuan dan ini akan membantu untuk mencipta perancangan mengatasi pertahanan yang memiliki susuk tubuh besar.

"Tetapi, bagi saya bola sepak moden sekarang ini tidak akan mendatangkan masalah besar kepada pasukan yang ada pemain bertubuh kecil. Apa yang penting adalah kepantasan.

"Seperti Lionel Messi, Diogo Jota, Luis Diaz dan Bukayo Saka, mereka semua berbadan kecil, tetapi ada kelebihan seperti gelecekan dan aspek teknikal individu yang baik untuk menewaskan pertahanan lawan," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Arif Aiman dengan ketinggian 170 sentimeter (cm) dan Faisal (158cm) mungkin agak kecil dibandingkan dengan susuk badan pertahanan lawan dalam Kumpulan E itu yang rata-ratanya mempunyai ketinggian 190 cm.

Bekas jurulatih PDRM FC itu juga percaya Pan-gon sudah tentu tidak akan bermain dengan corak permainan 'aerial ball' sebaliknya lebih kepada kepantasan dan hantaran ke hadapan dalam penalti lawan.

Artikel Berkaitan:

"Teknikal individu pemain akan menjadi strategi dan kombinasi pemain yang mempunyai fizikal besar. Bahrain dan Jordan sejak kebelakangan ini mereka tidak berada pada tahap terbaik dan kita boleh untuk melakukan sesuatu.

"Namun, yang sukar adalah Korea Selatan kerana kita tahu mereka berada di tahap yang berbeza. Namun, saya optimis kita mampu membuat upset kepada Barain dan Jordan," katanya.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan membuka tirai Piala Asia menentang pasukan di ranking ke-87 dunia, Jordan pada 15 Januari sebelum bertemu Bahrain (86) pada 20 Januari dan Korea Selatan (23) lima hari kemudian.