Reformasi institusi stabilkan negara, kekang isu kritikal rasuah

Norhayati (Laporan Sinar Harian.)
Norhayati (Laporan Sinar Harian.)
A
A
A

SHAH ALAM - Reformasi institusi tidak boleh terus ditangguhkan bagi menstabilkan negara dan mengekang isu-isu kritikal rasuah dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, sekiranya keadilan atau perubahan ditangguh ia akan terus menimbulkan persepsi negatif terhadap tadbir urus kerajaan.

"Kita tahu laporan rasuah banyak di negara ini, tetapi sejauh mana tindakan yang telah diambil dan di manakah keputusan itu dibawa?

"Reformasi institusi menjadi salah satu sebab bahawa tindakan yang pantas, cepat dan profesional menjadi kunci keadilan yang rakyat ingin lihat,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin telah mengemukakan lapan tuntutan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) berhubung mereformasi institusi untuk diberi perhatian oleh kerajaan di Parlimen.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa kumpulan berkenaan menegaskan bahawa, lapan tuntutan itu jika tidak dikemukakan di Parlimen dan tidak dilaksanakan nanti, akan menjadi ‘dosa besar’ kepada rakyat.

Jelasnya, perkara tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan untuk memastikan penggubalan undang-undang yang dicadangkan menepati garis masa tertentu dan laporan berkala harus dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Sementara itu, Norhayati berkata, #RasuahBusters merupakan gerakan rakyat kepada rakyat bagi membendung isu rasuah yang kini membelenggu negara.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dengan mewujudkan perubahan dalam institusi perundangan ia mampu meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti kerajaan dalam tata kelola yang baik.

"Kita perlu memupuk kesedaran dan memberi pendidikan untuk membentuk generasi yang menentang rasuah. Jadi hukuman, rujukan dan pendidikan tidak boleh terpisah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!