Raja dadah Malaysia dikehendaki PDRM sejak 2018

Sinar Harian melaporkan pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana menyeludup dadah ditahan selepas bersembunyi di Laos. Gambar kecil: Mohd Kamarudin.
Sinar Harian melaporkan pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana menyeludup dadah ditahan selepas bersembunyi di Laos. Gambar kecil: Mohd Kamarudin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga Malaysia yang diberkas di Laos pada Jumaat lalu kerana aktiviti penyeludupan dadah disenaraikan sebagai individu dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018.

Penahanan lelaki berusia 39 tahun didakwa raja dadah berasal dari Parit Buntar, Perak itu dilakukan hasil pertukaran maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, lelaki berkenaan disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

"Tindakan menyenarai hitam dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menahan tujuh rakyat mereka dengan rampasan 998 kilogram methamphetamine di wilayah Ratchaburi pada Jun tahun lalu.

"Lelaki ini juga mempunyai rangkaian pengedaran di negara ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN:Raja dadah Malaysia ditahan di Laos

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana menyeludup dadah ditahan selepas bersembunyi di Laos.

Suspek dipercayai menggunakan Thailand untuk pengubahan wang haram dan sebagai transit untuk penyeludupan dadah, termasuk ke negara ketiga seperti Malaysia, Taiwan dan Australia.

Artikel Berkaitan:

Susulan penahanan itu, pihak berkuasa Thailand merampas aset lelaki itu termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai dan barang berharga lain di Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.

Jumlah anggaran nilai aset yang dirampas ialah RM11 juta (85 juta baht).