Bunyi letupan selamat buruh daripada rentung

Norida dan dua anaknya pasrah dengan kejadian yang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Norida dan dua anaknya pasrah dengan kejadian yang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
A
A
A

PASIR MAS - Bunyi letupan kuat berjaya menyelamatkan seorang buruh daripada rentung selepas rumah sewanya serta dua buah rumah lagi terbakar dalam kejadian di Kampung Meranti di sini pagi tadi.

Kejadian jam 11.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Zainuddin Mat Riffin, 48, sedang tidur nyenyak.

Bagaimanapun, Zainuddin memberitahu, dia terjaga selepas terdengar letupan kuat dan terkejut mendapati rumahnya terbakar.

"Melihat sahaja api marak, saya terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

"Mujurlah, saya tidak panik dan sempat membawa keluar beberapa barangan penting daripada hangus," katanya memberitahu semua alat jahitan milik isterinya, Zuraidah Hassan, 42, gagal diselamatkan.

Zainuddin berkata, walaupun kini tinggal sehelai sepinggang, dia bersyukur apabila isterinya tiada di rumah kerana mengambil anak mereka, Nur Zara Qaila Suffiya di prasekolah ketika kejadian.

Zainuddin dan isteri serta anaknya hanya mampu berputih mata melihat keadaan rumah sewa mereka hangus.
Zainuddin dan isteri serta anaknya hanya mampu berputih mata melihat keadaan rumah sewa mereka hangus.

Seorang lagi mangsa, Norida Awang, 42, berkata, dia sekeluarga terpaksa berputih mata selepas semua barangan di rumah sewa mereka hangus termasuk sebuah motosikal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, paling terkesan dengan kejadian tersebut dua anaknya, Muhammad Ikhwan Fikree Mohd Alwi, 9, dan Nur Irdina Fadhlah, 8, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Meranti apabila kesemua kelengkapan sekolah dan uniform baharu turut hangus.

Norida berkata, walaupun hari ini merupakan hari pertama persekolahan tetapi anak-anaknya memakai baju lama kerana memikirkan sekolah hanya dibuka dua hari sahaja.

Keadaan rumah sewa Zainuddin dan Norida ketika kebakaran berlaku.
Keadaan rumah sewa Zainuddin dan Norida ketika kebakaran berlaku.

"Jadi mereka pasang angan-angan hendak pakai semua yang baharu hari Ahad nanti.

"Bila kejadian ini berlaku, mereka tidak henti menangis memikirkan barangan persekolahan yang hangus," katanya turut reda dan menganggap ia sebagai ujiannya sekeluarga.