Tarif air di Pulau Pinang naik 20 peratus

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Kadar tarif air di Pulau Pinang akan naik selaras dengan pengumuman kerajaan dalam usaha untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kenaikan itu berkemungkinan akan mencecah sehingga 20 peratus atau lebih.

Menurutnya, sekiranya tarif baharu digunakan, kerajaan negeri berkemungkinan akan memansuhkan Surcaj Pemuliharaan Air (WCS) sebanyak 48 sen bagi setiap 1,000 liter.

"Dengan kenaikkan yang dicadangkan kerajaan, Pulau Pinang tidak terkecuali. Naik (tarif) mesti naik kerana ia selaras dengan kerajaan. Kemungkinan akan naik 20 peratus atau lebih.

"Ia belum dimuktamadkan. Jika naik pun, kadar tarif air di Pulau Pinang tetap yang paling rendah. Itu jaminan Kerajaan Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, sekiranya tarif baharu ini digunakan, mungkin WCS akan dimansuhkan," katanya kepada media tadi.

Sebelum ini, Pulau Pinang mengenakan WCS sebanyak 48 sen setiap 1,000 liter bagi penggunaan domestik melebihi 35,000 liter sebulan.

Ketika ini, purata tarif air domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter sebulan pertama masih yang terendah di Malaysia pada 32 sen setiap 1,000 liter.

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini.

Menurutnya, kenaikan tarif sumber asli terbabit perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.