Banjir: Kaut untung seludup minyak masak ke Thailand

Sempadan negara antara Malaysia dan Thailand di Sungai Golok.
Sempadan negara antara Malaysia dan Thailand di Sungai Golok.
A
A
A

KOTA BHARU - Banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Kelantan menjadi antara faktor ketirisan dan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi negara ke Thailand.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, banjir kali ini sekali gus menyebabkan kenaikan paras Sungai Golok di sempadan yang memisahkan antara Malaysia dan negara jiran berkenaan.

Menurut beliau, selain itu, minyak masak peket negara ini mendapat permintaan tinggi di Thailand kerana harga yang lebih murah dan berkualiti.

“Jarak sempadan yang dekat dan terbuka di Sungai Golok serta penutupan pintu keluar masuk negara diambil kesempatan oleh individu atau sindiket untuk mengaut keuntungan daripada subisidi yang dibekalkan kerajaan.

“KPDN juga maklum punca menyebabkan berlakunya ketirisan ini kerana perbezaan harga minyak negara yang lebih murah dan permintaan tinggi daripada pengguna di negara itu yang menjadi sumber pendapatan penduduk sempadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Sebelum ini, tular perkongsian seorang peguam di media sosial berkaitan kegiatan penjualan minyak masak peket bersubsidi Malaysia secara terbuka di kedai-kedai di tepi Sungai Golok di Tak Bai.

Azman (empat dari kanan) menunjukkan rampasan minyak masak peket yang dilakukan oleh KPDN Kelantan sebelum ini.
Azman (empat dari kanan) menunjukkan rampasan minyak masak peket yang dilakukan oleh KPDN Kelantan sebelum ini.

Azman berkata, pihaknya mengambil maklum aduan awam tersebut dan pada masa meningkatkan tindakan penguatkuasaan barang kawalan bersubsidi daripada penyeludupan sempadan dan menangani secara berterusan demi kepentingan pengguna di negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penguatkuasaan undang-undang dipertingkatkan lagi dengan pelbagai operasi bersepadu bersama agensi sempadan, mengadakan libat urus dan berkongsi maklumat risikan dari masa ke masa bagi melindungi hak-hak pengguna terhadap subsidi yang dibekalkan kerajaan.

“Untuk rekod sepanjang tahun 2023, sebanyak 362 tindakan kes dilaksanakan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan rampasan keseluruhan sebanyak RM4.6 juta melibatkan barang kawalan seperti minyak masak bersubsidi, gula, tepung gandum, gas petroleum, minyak petrol dan diesel.

“Lebih terperinci mengenai rampasan minyak masak bersubsidi dengan tindakan kes sebanyak 118 membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM302,507.50 membabitkan kuantiti minyak masak bersubsidi sebanyak 121,003 kilogram,” kata beliau.

Menurut Azman, KPDN turut bersama menerusi operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan sempadan lain antaranya Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, tentera dan polis bagi menangani isu penyeludupan sempadan.

“Bagi tahun baharu 2024 ini, penguatkuasaan diperhebatkan lagi dengan lebih banyak operasi bersepadu, penambahan pegawai pintu sempadan, pertukaran maklumat risikan dan penggunaan aset serta strategi termasuk melihat perubahan iklim atau geografi dalam menangani isu penyelewengan ini.

“Selain itu, KPDN proaktif menguatkuasakan Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan arahan dari masa ke masa terhadap pemegang lesen barang kawalan supaya mereka mematuhi perundangan yang ditetapkan,” kata beliau.