Langkah Dubai: Abdul Rahman buat laporan polis

Abdul Rahman bersama Ahli UMNO Lipis selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya terlibat dalam percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. - Foto FB Abdul Rahman Mohamad
Abdul Rahman bersama Ahli UMNO Lipis selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya terlibat dalam percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. - Foto FB Abdul Rahman Mohamad
A
A
A

KUANTAN - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau antara individu yang terlibat dalam cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, laporan tersebut dibuat selepas satu rakaman video tular di YouTube yang mendakwa sekumpulan ahli Parlimen berada di Dubai sebagai percubaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menumbangkan kerajaan sedia ada.

"Laporan ini bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan demi membersihkan nama saya.

"Tindakan undang-undang yang berat akan diambil kepada pemilik akaun YouTube berkenaan yang telah menggunakan media sosial sebagai medium hasutan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Ahli Parlimen Lipis itu turut menyifatkan tindakan terbabit adalah bermotifkan tuduhan jahat.

Jelasnya, ia sengaja diada-adakan untuk menimbulkan polemik dan ingin mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Sedangkan dalam tempoh beberapa minggu ini saya yang juga Ahli Parlimen Lipis berada di Malaysia khususnya di kawasan Lipis memenuhi program dan menyantuni masyarakat di sini.

"Walaupun di penghujung tahun, saya tetap bersedia memberi khidmat kepada masyarakat dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga di kawasan kerana bimbang berlakunya banjir di Parlimen Lipis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahman yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, tohmahan dan fitnah jahat terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya berlaku pada saat Kerajaan Perpaduan kini mempunyai dua pertiga majoriti.

Jelasnya, kini Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

"Tuduhan seperti ini sangat berbahaya kerana situasi ini boleh mengganggu gugat kestabilan ekonomi dan memberi kesan kepada pelaburan asing, sekali gus akan menjejaskan peluang pekerjaan khusus untuk orang muda," katanya.