Satu dekad duduk percuma di PPR Lobak

Seh Yong (kiri) melihat senarai penduduk PPR Lobak di Seremban yang mempunyai tunggakan sewa.
Seh Yong (kiri) melihat senarai penduduk PPR Lobak di Seremban yang mempunyai tunggakan sewa.
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun hanya perlu membayar RM150 sebulan, namun ada penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak di sini tanpa segan silu duduk secara percuma lebih satu dekad dengan hutang terkumpul lebih RM30,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, jumlah tunggakan sewa PPR tersebut kini telah mencecah RM1 juta yang mana kira-kira 85 peratus daripada 131 penghuni culas untuk membayarnya.

"Sememangnya rumah PPR disediakan kerajaan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan, tetapi itu bukan alasan untuk tidak membayar sewa RM150 sebulan ditetapkan.

"Malah kita juga dapati sikap penghuni yang enggan bayar sewa ini boleh jadi virus kerana daripada hanya beberapa orang saja, lama-kelamaan menyebabkan lain-lain pun tak mahu bayar sewa kerana tengok tiada apa-apa tindakan," katanya ketika ditemui di PPR Lobak di sini pada Sabtu.

Seh Yong (tengah) menunjukkan sambungan paip haram di PPR Lobak.
Seh Yong (tengah) menunjukkan sambungan paip haram di PPR Lobak.

Bagaimanapun katanya, tindakan lebih tegas akan diambil Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selepas ini dengan mengambil tindakan mengunci rumah penyewa yang gagal menjelaskan tunggakan dan seterusnya menamatkan perjanjian sewaan.

Sehubungan itu beliau berharap semua penghuni lebih bertanggungjawab menjelaskan sewa termasuk tunggakan.

"MBS juga telah pun buat perjanjian baharu dengan semua penghuni bermula tiga bulan lalu dan mereka tiada alasan lagi untuk tidak membayar sewa.

Artikel Berkaitan:

"Kalau penghuni ada masalah nak jelaskan bayaran sewa atau tunggakan, boleh maklum kepada saya atau berjumpa dengan MBS maklumkan permasalahan dihadapi dan bukannya terus tak bayar," katanya.

Selain itu katanya, sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri bagi membaik pulih segala kerosakan di PPR berkenaan.

MBS menaikkan notis amaran kepada penduduk untuk menjelaskan sewa atau berdepan tindakan tegas.
MBS menaikkan notis amaran kepada penduduk untuk menjelaskan sewa atau berdepan tindakan tegas.

Ujarnya, keadaan itu jelas menunjukkan yang kerajaan berusaha menyediakan tempat tinggal selesa buat penghuni sekali gus membuang stigma penempatan PPR adalah kawasan bermasalah.

"Dulu kawasan ini sangat teruk bukan saja dari soal kebersihan tapi juga jenayah dan saya boleh katakan PPR Lobak ini kawasan yang agak kritikal.

"Tapi sejak saya mengambil alih kawasan Lobak, saya berusaha mengubah stigma itu antaranya membaiki bumbung, mengecat bangunan, membuat rumah sampah dan menurap jalan," katanya.

Pada masa sama katanya, MBS juga telah memasang jeriji besi di meter air penduduk bagi mengelakkan kes curi air di kawasan itu.