Mangsa banjir di 4 negeri berkurangan kepada 10,000 setakat 8 malam

Situasi banjir di jajahan Pasir Mas semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 12 PPS yang menempatkan 6,347 orang daripada 1,894 keluarga berbanding 10,557 mangsa daripada 3,227 keluarga petang tadi. - Foto: Bernama
Situasi banjir di jajahan Pasir Mas semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 12 PPS yang menempatkan 6,347 orang daripada 1,894 keluarga berbanding 10,557 mangsa daripada 3,227 keluarga petang tadi. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di empat negeri berkurangan sedikit kepada 10,000 orang di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini berbanding 10,895 orang di 41 PPS petang tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 9,667 orang di 27 PPS berbanding 10,354 orang di 29 PPS pada sebelah petang.

Menurut laporan itu, 27 PPS dibuka di empat daerah di Kelantan merangkumi 12 di Pasir Mas yang menempatkan 6,347 orang daripada 1,894 keluarga, 10 di Tumpat (2,842 orang daripada 987 keluarga), dua di Jeli (411 orang daripada 103 keluarga) dan tiga di Kuala Krai (67 orang daripada 16 keluarga).

Di Terengganu, jumlah mangsa turut berkurangan kepada 148 orang daripada 44 keluarga yang berlindung di tiga PPS berbanding 354 orang daripada 97 keluarga di lima PPS di daerah Dungun dan Kuala Terengganu petang tadi.

Jumlah mangsa banjir di Johor malam ini kekal 54 orang daripada 14 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Segamat.

Di Pahang, mangsa banjir di lima PPS merangkumi daerah Bera, Maran dan Temerloh turut mencatatkan penurunan kepada 131 orang daripada 36 keluarga berbanding 133 orang daripada 37 keluarga petang tadi.

Laporan itu turut memaklumkan jumlah mangsa bagi insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal 87 orang daripada 17 keluarga yang masih berlindung di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiga sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Golok di Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Kota Bharu berada pada paras bahaya setakat 8 malam ini.

Artikel Berkaitan:

Turut berdepan situasi sama ialah Sungai Buloh, Sungai Klang, Sungai Selangor, Sungai Perak dan Sungai Arau.

Laporan itu juga menyebut terdapat 44 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak/runtuh dan tanah runtuh.

Antara yang terlibat ialah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor, Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjong (Kelantan), Jalan Marang-Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Jugra di Selangor. - Bernama