ATM bantu bersih sekolah terjejas banjir

Anggota ATM membantu membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Pasir Raja selepas dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Kampung Pasir Raja hari ini. - Foto: Bernama
Anggota ATM membantu membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Pasir Raja selepas dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Kampung Pasir Raja hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

DUNGUN - Berbaki dua hari sebelum sesi persekolahan bermula, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini tampil membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir Raja di sini yang terjejas banjir.

Berbekalkan kekuatan 33 anggota daripada kompeni C Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA), operasi pembersihan berkenaan dimulakan sejak awal pagi tadi hingga petang ini bagi memastikan 53 murid dapat belajar dengan selesa pada Selasa ini.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kampung Pasir Raja, Shahdan Musa berkata, pihaknya bersyukur kerana anggota ATM sudi menghulurkan bantuan kerana kerja-kerja pembersihan sekolah yang mempunyai tiga blok itu agak sukar dilakukan tanpa bantuan daripada pihak luar.

"Banjir di kampung kami bermula pada 23 Disember lepas. Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dibuka pada 24 Disember dan telah ditutup semalam, namun tak sampai tiga jam ditutup pada 5 petang air sungai naik kembali dan penduduk kembali ke PPS sehingga sekarang.

Gotong-royong membersihkan sekolah dilakukan bagi memastikan murid-murid meneruskan sesi persekolahan bagi penggal ketiga yang akan bermula pada 2 Januari depan, berjalan dengan lancar. - Foto: Bernama
Gotong-royong membersihkan sekolah dilakukan bagi memastikan murid-murid meneruskan sesi persekolahan bagi penggal ketiga yang akan bermula pada 2 Januari depan, berjalan dengan lancar. - Foto: Bernama

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota tentera kerana menyumbangkan tenaga melakukan kerja pembersihan di sekolah ini," katanya.

Sementara itu, Tengku Noor Suriati Tengku Abdul Rahman, 39, yang mempunyai dua anak bersekolah di situ berharap pihak berkaitan boleh memberikan sedikit kelonggaran seperti menangguhkan sesi persekolahan terlebih dahulu kerana bimbang kejadian banjir berulang dan banyak kelengkapan persekolahan anak-anaknya musnah dihanyutkan banjir.

"Saya masih rasa susah hati sebab kita tak tahu takut-takut air naik lagi dengan laluan nanti boleh terkepung, jadi mungkin pihak berkaitan atau kerajaan boleh fikirkan sesuatu untuk membantu anak-anak ini memulakan sekolah dalam keadaan selesa," katanya.

Artikel Berkaitan:

PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang dibuka semula secara pentadbiran selepas ditutup semalam menempatkan 66 orang daripada 24 keluarga. - Bernama