Ringgit meneruskan trend kenaikan pada minggu pertama 2024

Ringgit dijangka didagangkan antara paras 4.57 dan 4.58 untuk minggu pertama 2024. Foto hiasan
Ringgit dijangka didagangkan antara paras 4.57 dan 4.58 untuk minggu pertama 2024. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka meneruskan trend kenaikan berbanding dolar AS pada minggu depan, didagangkan antara paras 4.57 dan 4.58 untuk minggu pertama 2024 berdasarkan unjuran pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) seawal Mac depan, kata seorang penganalisis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan akan diberikan pada Minit Upah Bukan Ladang (NFP) AS dan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan pada Khamis.

"Ini akan memberikan petunjuk lanjut mengenai potensi pemotongan kadar AS menjelang 2024. Kami percaya ringgit akan cuba memecahkan sokongan serta-mertanya pada paras RM4.5778 apabila naratif penurunan kadar itu semakin jelas.

"Sekiranya itu berlaku, paras sokongan seterusnya akan berada pada RM4.5104,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berkata, pasaran menjangkakan pemotongan kadar 150 mata asas (bps) pada Mac 2024 berbanding 75 mata asas Rizab Persekutuan AS (Fed) 75 mata pada separuh kedua.

"Ianya merupakan isu terbesar dalam pasaran pertukaran asing sekarang. Perdebatan mereka hanya akan berakhir selepas NFP AS yang pertama dikeluarkan pada awal Januari.

"Cetakan yang kukuh boleh menolak jangkaan pemotongan kadar Fed manakala cetakan lemah hampir pasti akan mengukuhkan pemotongan Mac dan melemahkan dolar US secara mendadak,” katanya.

Innes meramalkan ringgit akan bergerak kepada 4.50 pada separuh pertama 2024 berbanding dolar AS.

Artikel Berkaitan:

Bagi minggu depan, kenaikan boleh dihadkan kepada 4.58 menjelang keluaran awal tahun NFP AS.

Untuk minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi pada sentimen positif dengan jangkaan penurunan kadar AS tahun depan.

Dari asas Jumaat ke Jumaat, ringgit bertambah kuat daripada dolar AS pada 4.5900/5980 berbanding 4.6265/6305 yang direkodkan semasa minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2356/2415 daripada 3.2547/2579, bertambah baik berbanding pound British kepada 5.8321/8422 daripada 5.8720/8770 dan menokok berbanding euro kepada 5.0729/0817 daripada 5.0915/0959.

Ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding beberapa mata wang Asean.

Ia mantap berbanding dolar Singapura kepada 3.4746/4812 daripada 3.4933/4968 seminggu lalu dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 3.3422/3760 daripada 13.3509/3706 sebelum ini.

Ringgit melonjak berbanding rupiah Indonesia pada 298.1/298.6 daripada 298.7/299.1 dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.28/8.31 daripada 8.35/8.36 yang disaksikan pada minggu lepas. - Bernama