Ringgit dibuka tinggi pada 3.8850 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif dan dolar AS yang lemah.
Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.8850/8960 berbanding dolar AS daripada 3.8900/8955 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan dalam proses menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini yang pada masa ini pada 4.0 hingga 4.5 peratus.
"Berdasarkan prestasi tahun lepas, semakan tersebut dijangka meningkat dan ini menunjukkan prospek positif,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, dasar monetari merupakan satu lagi faktor sokongan berikutan bank pusat dijangka tidak menurunkan kadar faedah dan berkemungkinan mengekalkan pendirian dasar semasanya.
Sementara itu, di Washington, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.17 peratus kepada 97.675 mata.
Pada Rabu, dolar AS-ringgit berada hampir kepada paras sokongan segera pada RM3.8722 sebelum diniagakan pada RM3.8855 pada sesi dagangan petang.
"Oleh itu, ringgit dijangka terus mendapat sokongan yang baik dalam tempoh terdekat berikutan prospek dolar AS yang lemah dan prospek ekonomi Malaysia yang positif,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.4878/4950 daripada 2.4848/4885 semasa ditutup pada Rabu, merosot berbanding pound kepada 5.2669/2818 daripada 5.2585/2659 dan menyusut berbanding euro kepada 4.5901/6031 daripada 4.5855/5920 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.4988/5418 daripada 12.5121/5374 semasa ditutup semalam, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 231.2/232.0 daripada 231.5/231.9 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.78 daripada 6.76/6.78 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0760/0850 daripada 3.0736/0782 pada Rabu. - Bernama
Ringkasan AI
- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif
- Ringgit mengukuh kepada 3.8850/8960 berbanding dolar AS
- Kerajaan dalam proses menyemak semula unjuran KDNK tahun ini pada 4.0 hingga 4.5 peratus
- Ringgit dibuka tinggi pada 3.8850 berbanding dolar AS
- Ringgit diniagakan rendah berbanding yen Jepun, pound, dan euro tetapi tinggi berbanding mata wang ASEAN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
