Ringgit mengukuh berbanding dolar AS dalam dagangan awal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT terus meningkat berbanding dolar AS, dibuka tinggi pada hari dagangan pertama minggu ini, walaupun musim cuti panjang yang berterusan menyaksikan ramai pelabur tidak memasuki pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, ringgit naik kepada 4.6145/6205 berbanding dolar AS daripada 4.6265/6305 pada Jumaat.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik, berdasarkan prospek inflasi yang rendah di Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan pelonggaran dasar seterusnya oleh bank-bank pusat G10.

"Walaupun sesi dagangan hari ini dijangka tenang (disebabkan cuti panjang), saya menjangka ringgit akan menunjukkan kecenderungan meningkat walaupun mencatatkan kenaikan yang mungkin mencabar melainkan wujud pemangkin yang tidak dijangka melebihi momentum semasa untuk jangkaan pengurangan kadar faedah AS.

"Pelabur turut diberikan ‘hadiah’ dalam bentuk laporan inflasi yang lebih sederhana oleh Rizab Persekutuan AS pada Jumaat lepas.

"Bagaimanapun, berdasarkan pasaran telah mengambil kira pengurangan 150 mata asas, respons dalam pasaran pertukaran asing (FX) agak kurang menggalakkan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.8609/8685 daripada 5.8720/8770 pada Jumaat lepas, naik berbanding euro kepada 5.0852/0918 daripada 5.0915/0959 minggu lepas dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2435/2482 daripada 3.2547/2579 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang Asia lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4840/4890 daripada 3.4933/4968 pada Jumaat lepas dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 297.9/298.5 daripada 298.7/299.1 sebelum ini.

Ia turut tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.3102/3359 daripada 13.3509/3706 minggu lepas dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.36 daripada 8.35/8.36 sebelum ini. - Bernama