MSM catat rugi bersih RM397.25 juta

MSM mencatatkan kerugian bersih RM397.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember.
MSM mencatatkan kerugian bersih RM397.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember.
A
A
A

KUALA LUMPUR - MSM Malaysia Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM397.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM31.25 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kerugian berkenaan berpunca terutamanya daripada kemerosotan nilai aset bukan kewangan berjumlah RM359.96 juta.

Pengeluar gula bertapis tempatan jenama Gula Prai itu turut merekodkan penurunan hasil kepada RM3.09 bilion pada tahun kewangan 2025 berbanding RM3.54 bilion pada tahun kewangan 2024, susulan harga jualan purata dan jumlah jualan yang lebih rendah.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember, 2025, MSM mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM366.63 juta berbanding keuntungan bersih yang dicatatkan sebanyak RM71.70 juta pada suku keempat 2024, manakala hasil menyusut kepada RM783.08 juta daripada RM943.60 juta sebelum itu.

Mengulas prestasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Aini Shahar berkata kemerosotan nilai itu merupakan langkah perakaunan berhemat bagi menyelaraskan nilai aset MSM Johor dalam pelaporan kewangan untuk mencerminkan realiti operasi ketika ini.

"Ia adalah pelarasan bukan tunai berdasarkan anggaran terkini mengenai sokongan insentif dan prestasi kilang, dan pada akhirnya memperkukuh kualiti serta ketelusan pelaporan kewangan kami,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Aini berkata langkah itu tidak memberi kesan segera terhadap kecairan operasi kumpulan dan tumpuan syarikat kekal kepada pelaksanaan strategi perniagaan.

Melangkah ke hadapan, MSM menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar pada 2026 susulan persaingan yang semakin sengit daripada gula import, apabila lebihan bekalan global gula bertapis menyebabkan lambakan dalam pasaran domestik, sekali gus menyumbang kepada penyusutan bahagian pasaran MSM.

Sehubungan itu, kumpulan giat memperkemas dan mengoptimumkan operasinya sebagai sebahagian daripada usaha untuk kembali mencatat keuntungan.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, kumpulan juga berunding dengan kerajaan bagi memuktamadkan rangka kerja harga yang mampan, bertujuan melindungi keterjaminan makanan negara serta menjamin masa depan industri gula tempatan,” katanya. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • MSM Malaysia Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM397.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025
  • Kerugian berpunca terutamanya daripada kemerosotan nilai aset bukan kewangan berjumlah RM359.96 juta
  • Pengeluar gula bertapis tempatan jenama Gula Prai mencatat penurunan hasil kepada RM3.09 bilion pada tahun kewangan 2025
  • Kemerosotan nilai merupakan langkah perakaunan berhemat untuk menyelaraskan nilai aset MSM Johor
  • MSM menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar pada 2026 disebabkan persaingan yang sengit dari gula import

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!