Banjir: Polis Kelantan pandang serius halangan lalu lintas

Muhamad Zaki. Laporan Sinar Harian
Muhamad Zaki. Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Semua Ketua Polis Daerah diarahkan meletakkan polis trafik di kawasan permulaan air banjir bagi memastikan keadaan lalulintas di kawasan berkenaan selamat dan lancar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis turut melaksanakan rondaan secara berterusan di sepanjang laluan banjir.

Menurutnya, usaha itu bagi memastikan tiada halangan terutama daripada kenderaan persendirian sepanjang proses menyelamatkan mangsa banjir bagi memastikan keselamatan harta benda orang awam.

"Kita akui berlaku kesulitan pada awalnya kepada pasukan penyelamat di daerah Pasir Mas pada 25 Disember kerana penghuni di kawasan perumahan berhampiran Lubok Jong tergesa-gesa menyelamatkan kenderaan mereka.

"Ada di antaranya parkir di laluan utama kerana paras air Sungai Golok naik mendadak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesulitan turut berlaku di beberapa kawasan di daerah Pasir Mas terutama sekitar Lubok Stol dan Rantau Panjang sekali gus mengakibatkan aliran air deras menuju ke kawasan yang lebih rendah terutamanya di kawasan Perumahan Prima dan Bandar Baru Lubok Jong.

Bagaimanapun katanya, pasukan polis Daerah Pasir Mas mengambil langkah awal dengan mengatur gerak pegawai dan anggotanya mengawal lalu lintas bagi memastikan semua kenderaan mangsa diletakkan dengan teratur di bahu jalan.

"Arahan sudah dikeluarkan supaya semua pemilik kenderaan tidak mengganggu laluan keluar masuk kenderaan pasukan penyelamat terutama lori dan bot yang beroperasi di Rantau Panjang dan kawasan terjejas banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan sikap pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan yang tidak teratur dan mengambil ruang di atas jalan menyukarkan kenderaan anggota keselamatan bergerak dengan cepat dalam operasi menyelamat ketika banjir.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki memaklumkan polis turut memastikan orang ramai tidak mengambil kesempatan menjadikan situasi banjir ini sebagai pesta air dengan bermain air tanpa mengambil berat aspek keselamatan.

"Mereka tidak perlu datang ke tempat banjir seolah-olah berpesta kerana tindakan itu mengundang risiko kemalangan dan mengganggu kelancaran kenderaan petugas.

"Sekiranya masih ada yang enggan mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, tindakan tegas akan diambil kerana kerja-kerja menyelamat merupakan fokus utama polis Kelantan," ujarnya.

Kelantan melalui gelombang ketiga banjir bermula 24 Disember lalu melibatkan lapan daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli, Kuala Krai, Gua Musang, Kota Bharu dan Pasir Puteh.