Projek baharu perlu patuhi 4 kriteria utama mulai tahun depan - Kor Ming

Kor Ming (tiga dari kiri) ketika sidang media di Seri Kembangan pada Khamis.
Kor Ming (tiga dari kiri) ketika sidang media di Seri Kembangan pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mempertimbangkan pelaksanaan setiap projek baharu agar menepati dan mematuhi empat kriteria utama bermula tahun depan.

Empat kriteria utama dipertimbangkan adalah pulangan pelaburan (return of investment), analisis kos faedah, indeks kredibiliti dan reliabiliti dan juga kajian kebolehlaksanaan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, setiap projek yang dilaksanakan adalah 'performance based budget' bagi memastikan setiap sen dana awam dibelanjakan untuk projek diluluskan Kerajaan Madani menepati sasaran dan untuk rakyat.

“Mulai tahun depan kita akan mempertimbangkan setiap projek baharu berdasarkan empat kriteria utama iaitu pulangan pelaburan, analisis kos faedah, indeks kredibiliti dan reliabiliti dan akhirnya kajian kebolehlaksanaan yang saya tekankan ini.

“Empat kriteria utama ini akan digunakan oleh KPKT untuk setiap projek yang hendak dilaksanakan mulai tahun depan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkat secara mampan selari hasrat Kerajaan Madani,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan di sini pada Khamis.

Beliau menambah, ia juga bagi mengelakkan sebarang 'projek gajah putih' di masa depan dan pada masa sama kementerian turut mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau dan menyelenggara semua projek dilaksanakan.

Dalam pada itu, katanya, pada tahun ini KPKT berjaya melaksanakan sebanyak 5,196 projek pembangunan untuk rakyat dengan peruntukan RM700 juta.

Kor Ming (kanan) mengadakan lawatan kerja ke Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan pada Khamis.
Kor Ming (kanan) mengadakan lawatan kerja ke Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kor Ming berkata, ia merupakan jumlah projek tertinggi dilaksanakan dalam sejarah kementerian, melibatkan empat komponen utama iaitu sosioekonomi (746 projek); kemudahan awam (476 projek); keselamatan (33 projek) dan infrastruktur (3,941 projek).

"Antara pembangunan utama yang diberi penekanan termasuk peningkatan pembinaan infrastruktur awam seperti parit, longkang, jalan, laluan pejalan kaki, lampu jalan selain kemudahan awam seperti dewan serbaguna, kemudahan sukan dan rekreasi, pondok, bas serta tandas awam bertaraf BMW (bersih, menawan dan wangi).

"Selain itu, projek-projek sosioekonomi turut mendapat perhatian KPKT dengan menaik taraf premis perniagaan, pasar, bazar dan gerai makan bagi menawarkan peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk setempat," katanya.

Ujarnya lagi, kerajaan turut meluluskan RM191 juta bagi pelaksanaan 3,209 unit MyKiosk dengan peruntukan RM48.8 juta, selain membelanjakan RM47.6 juta bagi projek perparitan bagi mengelak banjir kilat, serta hampir RM100 juta (RM94.6 juta) untuk kira-kira 469 projek kolam takungan banjir.

Kor Ming berkata, kesemua projek itu dilaksanakan mengikut peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan dana awam yang dibelanjakan menepati sasaran dan berbaloi dari segi kos serta harganya.

Tambahnya, KPKT juga menetapkan sasaran sebanyak 5,000 projek pada setiap tahun dan beliau yakin Kerajaan Madani mampu melaksanakan 50,000 projek pembangunan untuk rakyat jika terus diberi peluang mentadbir negara bagi tempoh 10 tahun.