Cadangan pilihan raya PBT bukan keutamaan KPKT - Menteri

Kor Ming (kanan) ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1 di Seri Kembangan pada Khamis.
Kor Ming (kanan) ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1 di Seri Kembangan pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyifatkan cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan keutamaan kementerian ketika ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebaliknya berkata, keutamaan KPKT pada waktu ini adalah untuk memfokus kepada tujuh bidang baharu yang ingin dilaksanakan.

"Jawapan saya konsisten dan keutamaan KPKT waktu ini adalah untuk memfokus kepada tujuh bidang yang telah saya umumkan pada hari pertama saya diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri KPKT.

"Negara kita baharu pulih daripada pergolakan politik pada Julai lalu, baru selesai dan waktu kini adalah untuk meredakan suhu politik dan fokuskan kepada kerja-kerja yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

"Bagi saya 10 tahun, lepas saya siapkan 50,000 projek kemudahan awam (di seluruh negara) mungkin itulah masanya pilihan raya PBT akan diadakan," katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1 di Seri Kembangan pada Khamis.

Media sebelum ini, melaporkan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Kok Wai berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Kor Ming (tiga kiri) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1 di Seri Kembangan pada Khamis.
Kor Ming (tiga kiri) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1 di Seri Kembangan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, walaupun pilihan raya PBT ditangguhkan sejak sekian lama, namun ia bukan keutamaan KPKT kerana kementerian lebih memberi fokus kepada apa yang dirancang.

"Setiap perkara akan berlaku pada masa yang betul, perkara seperti pilihan raya PBT yang telah pun ditangguhkan sejak tahun 1963 ini pada ketika ini bukan keutamaan.

"Kami (KPKT) akan memberikan fokus kepada apa yang perlu dilakukan kerana kita memberikan keutamaan kepada kehidupan rakyat," ujarnya.

Malah beliau turut memaklumkan memberikan jawapan sama kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum ini.

"Saya sentiasa berinteraksi dengan YB Zaleha dan kita sentiasa bekerja sebagai satu pasukan maka jawapan saya dengan dia konsisten, keutamaan kita adalah pastikan tujuh bidang fokus KPKT itu dapat dilaksanakan (dahulu)," katanya.

Pada Januari lalu, KPKT mengumumkan akan memberikan fokus kepada tujuh bidang baharu untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Kor Ming dilaporkan berkata, bidang baharu itu meliputi pembangunan dan langkah memperkasa peranan Kerajaan Tempatan, membangun potensi PBT bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara dan perancangan perumahan lebih komprehensif dan berdaya saing.

Selain itu katanya, kementerian berkenaan juga memfokuskan pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum, pengurusan sisa pepejal bersepadu lebih efektif dan efisien bagi menghasilkan pelaksanaan ke arah ekonomi kitaran.

Turut difokuskan ialah memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu dan memperkukuh kesiapsagaan kebombaan dan penyelamat yang sejahtera.