Pinjam RM10,000 tapi kena bayar lebih RM120,000

Kalai (tiga dari kanan) bersama mangsa penipuan ceti haram ketika di sidang media di sebuah restoran di sini pada Selasa.
Kalai (tiga dari kanan) bersama mangsa penipuan ceti haram ketika di sidang media di sebuah restoran di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa menyiasat sindiket 'ceti haram' berleluasa sekitar Lembah Klang yang menggunakan taktik memalsukan tandatangan mangsa dan memasukkannya ke dalam surat akuan pesuruhjaya sumpah tanpa kebenaran.

Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Dr Kalai Vanar berkata, beberapa mangsa penipuan datang meminta bantuannya kerana buntu selepas meminjam sejumlah wang daripada pemiutang yang berusia sekitar 40-an itu.

“Mangsa pinjam duit lebih kurang RM10,000 termasuk 10 peratus faedah untuk tujuan berniaga pada 2019 waktu Covid-19 melanda, kemudian baru-baru ini dapat surat daripada mahkamah menyuruh defendan (peminjam) bayar RM120,610.

“Amaun itu disuruh bayar kepada plaintif sebagai bayaran balik hutang pinjaman persahabatan dan caj faedah sebanyak lima peratus setahun ke atas amaun penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh.

“Kos tindakan ini sebanyak RM1,900, sangat tak masuk akal,” katanya dalam sidang media di salah sebuah restoran, di sini pada Selasa.

Kalai memaklumkan, pihaknya percaya wujud satu konspirasi antara peguam yang mengelola kes itu dengan plaintif (pemiutang) kerana mengatakan di hadapan hakim kononnya defendan sudah menerima surat tetapi gagal hadir ke mahkamah.

Tambah beliau, isteri kepada mangsa yang membuat pinjaman langsung tidak tahu menahu atau menandatangani sebarang dokumen perjanjian, namun kini terpalit kerana surat peguam tersebut dikeluarkan ke atas namanya.

“Si isteri tahu suami buat pinjaman RM10,000 dan ini urusan antara suami dan pemiutang, dia (isteri) tak terlibat, tetapi mengapa surat yang sampai tertulis nama serta nombor kad pengenalannya.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini akan membuatkan mereka jatuh bankrap, jadi kita mahu polis bertindak dengan segera, ada di antara mangsa yang telah buat laporan,” ujarnya.

Aktivis sosial tersebut turut memberitahu, taktik penipuan dibuat pemiutang merupakan idea baharu yang mana peminjam diminta menandatangani kertas bersaiz A4 kosong kononnya menggunakan alasan formaliti sebelum memberikan sejumlah wang.

“Ada yang pinjam dan sudah bayar lebih kurang RM8,000 jadi baki tinggal RM2,000 tapi tak teruskan kerana waktu Covid-19 tiada kerja.

“Mereka (pemiutang) gunakan tandatangan peminjam pada kertas kosong ini dan bila mangsa tak dapat bayar tunggakan, dikeluarkan notis saman ke atasnya tapi memang tidak tandatangan apa-apa surat akuan sumpah,” ulas Kalai lagi.