Kerajaan digesa lebih serius tangani rasuah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Helmi
Gambar hiasan. Gambar kecil: Helmi
A
A
A

KERAJAAN perlu memfokuskan secara serius usaha untuk menangani isu rasuah atau integriti dalam kalangan penjawat awam memandangkan ia masih lagi menjadi masalah sehingga kini.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, penyelesaian secara serius perlu dilaksanakan bagi memastikan usaha untuk menghapuskan gejala rasuah melibatkan kelompok itu akan terlaksana.

“Rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) untuk terajui kerajaan atas keazaman mahu melihat perubahan terutama untuk membanteras rasuah tetapi selepas setahun berkuasa dan 2023 bakal melabuhkan tirainya, namun cahaya di hujung terowong masih tidak kelihatan.

“Persoalannya di manakah silapnya? Di manakah cahaya di hujung terowong yang dijanjikan oleh Kerajaan Perpaduan yang kini mencecah satu tahun ‘bertakhta’ di Putrajaya?” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Helmi, ketidakpuasan hati rakyat wujud apabila sektor awam ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh kerajaan, namun sistem penyampaian perkhidmatan awam masih tidak menunjukkan banyak peningkatan.

Tegasnya, tahun 2024 semakin hampir dan rakyat negara ini masih berhadapan dengan kesempitan hidup akibat kenaikan harga barang khususnya keperluan makanan.

“Harga perkhidmatan pun kian meningkat dan pendapatan masih statik. Ada juga dalam kalangan peniaga masih mengeluh, keuntungan mereka semakin mengecut malah ada yang terpaksa menanggung kerugian saban hari.

“Mereka yang bekerja ‘makan’ gaji dengan kerajaan terus mendapat kenaikan, bonus dan pelbagai insentif pun masih terlibat dengan kegiatan rasuah seolah-olah wang diterima itu tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

“Berbeza dengan rakyat termasuk yang bekerja di sektor swasta, sehingga kini ramai daripada masih berada di takuk lama,” jelas Helmi.