Upah sehingga RM10,000 jerat rakyat Malaysia jadi keldai dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tawaran upah lumayan antara RM5,000 sehingga RM10,000 dilihat antara faktor mempengaruhi serta memperdaya rakyat di negara ini menjadi keldai dadah menerusi media sosial dengan menjalankan kegiatan penyeludupan ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din turut menyifatkan penglibatan rakyat Malaysia yang menjadi keldai dadah di tahap membimbangkan, apatah lagi dengan kes tangkapan meningkat.

Menurutnya, seramai 28 rakyat Malaysia ditangkap di pintu masuk pelbagai negara destinasi akibat terperdaya dan menjadi mangsa pengedaran dadah di peringkat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, meningkat berbanding tahun 2022 iaitu 17 orang.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu sedikit berkurangan jika dibandingkan jumlah yang ditahan pada 2021 iaitu seramai 32 orang rakyat Malaysia yang ditangkap di luar negara atas kesalahan menyeludup dadah.

"Situasi ini amat membimbangkan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati serta berwaspada daripada menjadi keldai dadah.

Artikel Berkaitan:


"Diharap tidak mudah terpedaya dengan sindiket dadah yang semakin licik dengan menawarkan pelbagai habuan yang tinggi untuk dijadikan mangsa menyeludup masuk dadah ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu tegasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi JSJN di talian hotline 012-2087222 dengan segera.

Selain itu katanya, sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan berkenaan tawaran percutian percuma, kerja di luar negara atau tawaran gaji yang lumayan, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline JSJN.