Banjir termenung: Kelantan akan bincang dengan kerajaan pusat

Nassuruddin mendengar luahan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang.
Nassuruddin mendengar luahan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan akan berbincang dengan kerajaan pusat mengenai rungutan mangsa banjir yang berdepan masalah banjir termenung terlalu lama, termasuk cadangan kajian semula ke atas Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud berkata, banyak rungutan yang diterima daripada mangsa banjir dan mencadangkan terowong dibina.

"Kita faham projek itu masih belum siap sepenuhnya tetapi mungkin kerajaan pusat boleh fikirkan kaedah supaya tidak berlaku banjir termenung yang terlalu lama.

"Jika terowong boleh menyelesaikan masalah banjir yang dialami penduduk, kita sarankan kerajaan Persekutuan membuat kajian berkaitan pembinaan struktur itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di sini pada Selasa.

Nassuruddin memberitahu, penduduk di dua kampung termasuk Kampung Serongga di sini turut mendakwa banjir yang dialami mereka lebih teruk daripada bah kuning 2014.

Jelasnya lagi, ada penduduk yang terpaksa berpindah kali ketiga ke PPS berikutan air naik dengan cepat selain berdepan banjir termenung.

"Ada yang mendakwa, banjir luar biasa berlaku selepas pembinaan PSLB dan kini kesemua 250 keluarga sudah berpindah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tambah beliau, secara keseluruhan banjir di negeri ini terkawal.

Media sebelum ini melaporkan, penduduk kampung berdekatan PLSB Sungai Golok menggesa kerajaan membina terowong bagi mengatasi masalah air tersekat.

Antara penduduk berkenaan ialah dari Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol dan Kampung Gual To'Deh di Rantau Panjang.