Angka syahid, kerosakan di Gaza terus meningkat

Penduduk Palestin menyediakan makanan di pusat perlindungan sementara di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
Penduduk Palestin menyediakan makanan di pusat perlindungan sementara di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah rakyat Palestin yang mati syahid dan hilang di Semenanjung Gaza dilaporkan sebanyak 27,674 menerusi 1,745 operasi pembunuhan beramai-ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, hampir 1.8 juta orang kehilangan tempat tinggal dan 126 bangunan ibu pejabat kerajaan musnah serta 92 sekolah termasuk universiti turut mengalami nasib yang sama.

Muhammad Nadir Al-Nuri
Muhammad Nadir Al-Nuri

Menurutnya, sebanyak 8,500 kanak-kanak, 6,300 wanita, 311 kakitangan perubatan dan 40 anggota pertahanan awam termasuk 103 orang wartawan telah terbunuh dalam operasi itu.

“Walau bagaimanapun, seramai 54,536 mangsa turut mengalami kecederaan akibat serangan ini, manakala 7,000 mangsa masih hilang dan 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak serta wanita.

“Terdapat 285 sekolah dan universiti separa musnah, 65,000 unit kediaman musnah sepenuhnya serta 290,000 unit kediaman separa musnah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada 9 Disember lalu, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 17,487, dengan lebih 46,480 orang cedera.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qudra, 350 orang terbunuh dengan 558 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu, manakala ramai lagi mangsa masih berada di bawah runtuhan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Muhammad Nadhir, susulan serangan itu, ia turut memusnahkan masjid dan gereja di Semenanjung Gaza.

Ujarnya, selain rumah ibadat, fasiliti di hospital juga turut dimusnahkan oleh rejim Israel.

“Sebanyak 115 masjid musnah sepenuhnya, 200 masjid separa musnah, tiga gereja menjadi sasaran dan dimusnahkan.

“Terdapat 23 hospital dan 53 pusat kesihatan tidak dapat beroperasi, 140 institusi kesihatan separa terjejas serta 102 ambulans musnah sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Nadhir turut menjelaskan, seramai 101 anggota keselamatan dan sembilan wartawan telah ditahan rejim Israel.

Tambah beliau, kesan daripada serangan tersebut turut menyebabkan sebahagian penduduk mengalami penyakit berjangkit.

“Seramai 355,000 penduduk dijangkiti penyakit berjangkit akibat perpindahan,” ujarnya.