'Johor stabil bawah BN, tidak perlu tubuh Kerajaan Perpaduan'

TIAN SOON
TIAN SOON
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tidak keperluan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Johor ketika ini, kerana kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) kini kukuh dan stabil.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Ling Tian Soon, berkata, kestabilan Kerajaan Johor di bawah pentadbiran BN itu sepatutnya dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau yang juga Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri menjelaskan prestasi luar biasa berjaya dibuktikan Johor yang diterajui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor.

"Kerajaan Johor ini telah ditubuhkan pada PRN yang lepas iaitu pada Mac 2022 iaitu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Bangsa Johor telah membuat keputusan untuk memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk menerajui kerajaan Johor," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, ketika Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Klang Selangor, seorang perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan menggesa supaya Kerajaan Perpaduan di Johor segera ditubuhkan.

Perwakilan Johor, Zuhan Zain berkata, ketika ini kerajaan di negeri berkenaan hanya diterajui satu parti sahaja dan tidak selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Yong Peng berkata Kerajaan Johor ketika ini mempunyai hubungan yang cukup baik dengan Kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat menghormati pandangan dari perwakilan atau pemimpin Amanah. Namun saya berpendapat usaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan di Johor bukan satu keperluan.

"Kerajaan Johor kini berada pada 'gear' enam membangunkan infrastruktur dan ekonomi Johor. Pada kami, seluruh usaha kini tertumpu kepada menjayakan agenda Maju Johor dan mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030," ujarnya.

Pada 27 September lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat pada ketika ini.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor dilaporkan berkata ini kerana kerajaan negeri pimpinan BN ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan meminta agar kerajaan Johor membuat rombakan terhadap barisan EXCO dengan memberikan tiga jawatan kepada ADUN PH.

Perkara sama turut disuarakan Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang memberitahu sudah tiba masa kerajaan Johor menerima wakil daripada PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala PKR, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

Seterusnya, Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 2 kerusi dan Pas (satu kerusi).