Johor Bahru dibelenggu kesesakan kritikal

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BERAKHIRNYA sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bulan lalu, beberapa perkara menjadi tumpuan kerajaan negeri Johor dalam memperkasakan ekonomi dan mempertingkatkan infrastuktur untuk rakyat.

Paling mencuri tumpuan ialah gesaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan projek sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) di negeri berkenaan.

Dari segi pengangkutan awam, masih banyak yang perlu ditambah baik terutama di pusat bandar Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak dan ketika hujan.

Hakikatnya, Johor adalah unik kerana bersempadan dengan Singapura, yang turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya khususnya pada hujung minggu dan musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

Misalnya, musim Aidilfitri lalu, dua juta kenderaan memasuki Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Peningkatan kenderaan yang memasuki negeri ini turut mengingkatkan risiko kemalangan jalan raya selain kesesakan luar biasa di dua pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura itu.

Selain itu, jumlah pengembara di kedua-dua Kompleks CIQ itu telah mencapai 98 juta dan jumlahnya dijangka meningkat kepada sekitar 136 juta pada penghujung tahun ini, menyamai statistik pra-Covid pada tahun 2019.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan Di Tambak Johor secara dalam talian pada Oktober lalu berkata, jumlah pengembara ini dijangka meningkat pada kadar 15 peratus setahun. Dianggarkan seramai 157 juta pengembara akan melalui di kedua-dua pintu masuk laluan darat antara Malaysia Singapura itu menjelang tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan statistik tersebut, jelas menunjukkan keperluan LRT dibangunkan di Johor Bahru tambahan pula kerja-kerja bagi projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru ke Singapura telah mencapai tahap 55 peratus setakat November lalu.

RTS Link adalah rangkaian rel sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands di Singapura dijadualkan siap menjelang Disember 2026. Cadangan Johor untuk membangunkan LRT bukan angan-angan kosong, sebaliknya kajian awal telah dilakukan, malah kertas cadangan juga akan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan.

Mengikut kajian awal yang dibuat, Johor Bahru memerlukan tiga jajaran LRT melibatkan laluan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri dengan jarak sejauh kira-kira 30 kilometer.

Tegas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, kerajaan negeri Johor risau dengan kesesakan di bandar raya Johor Bahru yang semakin kritikal susulan pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat.

Ditambah dengan kesesakan trafik yang dijangka berlaku di Johor Bahru selepas projek RTS antara JB dan Singapura dijadualkan mula beroperasi pada 2027.

Biarpun kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masalah untuk menyokong pembangunan infrastruktur di negeri ini sebagaimana jawapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Konvensyen Tahunan DAP Johor 2023 di Kluang minggu lalu, namun pelaksanaan kemudahan pengangkutan awam seperti projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan LRT di Johor perlu mengambil kira pelbagai faktor terutamanya dari segi kewangan negara.

Perlu diingat, peranan Johor cukup penting kepada ekonomi negara selain menjadi laluan darat terpenting yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Johor merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah perdagangan negara bernilai RM247.592 bilion bagi tempoh Januari sehingga April tahun ini.

Justeru, sudah tiba masanya perhatian serius perlu diberikan kerajaan Persekutuan kepada Johor bagi pembinaan LRT di pusat bandar raya Johor Bahru agar setanding dengan Kuala Lumpur atau Singapura yang memiliki jaringan kemudahan pengangkutan lebih canggih dan efisien.

*Nor Azura Md Amin ialah Ketua Biro Sinar Harian Johor