Bukan pelancong China, tapi video lama di BSI Johor Bahru

Tangkap layar rakaman video lama yang ditularkan semula. Gambar kecil: Ruslin
Tangkap layar rakaman video lama yang ditularkan semula. Gambar kecil: Ruslin
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan satu rakaman video berkaitan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang selepas dibanjiri pelancong warga China.

Sebaliknya kata, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, video itu adalah video lama yang dirakamkan pada tahun 2022 di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru semasa pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat Covid-19 ditamatkan.

Katanya, video itu dirakamkan semasa pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

"JIM juga ingin menafikan bahawa rakaman tersebut telah dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara.

"Mengikut rekod, secara purata pergerakan keluar dan masuk di BSI adalah 250,000 pada hari-hari biasa dan akan meningkat sekali ganda pada musim perayaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini.

Sebelum itu, satu rakaman video berdurasi 17 saat tular di media sosial memaparkan jumlah individu yang ramai dengan memakai pelitup muka sedang menunggu di kaunter.

Artikel Berkaitan: