Covid-19: Tiada pembelian panik pelitup muka, kit ujian

Muhammad Zahir (dua kiri) bersama Veerapan (tiga kanan) ketika melakukan tinjauan mesra pada Sabtu.
Muhammad Zahir (dua kiri) bersama Veerapan (tiga kanan) ketika melakukan tinjauan mesra pada Sabtu.
A
A
A

NILAI - Tiada sebarang pembelian panik berlaku terhadap kit ujian Covid-19 dan pelitup muka di Negeri Sembilan walaupun wabak berkenaan dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini dalam negara.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, malah pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan ataupun laporan mengenai kenaikan harga dan kekurangan bekalan itu setakat ini.

"Saya juga dah buat semakan harga pelitup muka dan kit ujian kendiri Covid-19, ia masih lagi dikawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

"Kalau pelitup muka itu boleh dapat 50 keping dengan harga sekitar RM10, sama juga dengan kit ujian harganya ada RM3.90 sekotak dan ia masih berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika temui pemberita selepas selesai tinjauan mesra Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP) Krismas 2023 peringkat Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Veerapan (dua kiri) ketika mengedarkan risalah mengenai SHMMP pada Sabtu.
Veerapan (dua kiri) ketika mengedarkan risalah mengenai SHMMP pada Sabtu.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Muhammad Zahir berkata, sebanyak 14 jenis barangan yang akan dikawal di bawah SHMMP yang berkuatkuasa mulai 23 hingga 27 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh pelaksanaan SHMMP Perayaan Krismas 2023 adalah selama lima hari iaitu dua hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

"Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Sembilan telah ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi memastikan peniaga menggunakan label harga merah jambu bagi barang yang terlibat di bawah Skim," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memantau keberadaan bekalan barangan di pasaran selain memastikan penggunaan alat timbang sukat yang telah ditentusahkan serta tiada sebarang aktiviti pencatutan berlaku bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

Justeru, peniaga di negeri ini dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna hendaklah mengambil tahu berkaitan hak dan tanggungjawab masing-masing.