Pelitup muka: Masjid utama di Kelantan akur nasihat MAIK

Laporan Sinar Harian (Khairul Azizi)
Laporan Sinar Harian (Khairul Azizi)
A
A
A

KOTA BHARU - Masjid utama di negeri ini telah membuat pengumuman menggalakkan penggunaan pelitup muka kepada jemaah berikutan peningkatan penularan Covid-19 di negara ini.

Pengumuman itu juga selaras dengan pengedaran surat pekeliling daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada masjid dan surau bagi mengekang virus berkenaan.

Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Muhammad Hafizi Ramli berkata, pihak pengurusan masjid sudah memaklumkan kepada jemaah setiap hari terutama selepas solat Jumaat dan memberi kesedaran berkaitan virus itu.

"Kami turut memberitahu situasi semasa supaya mereka juga sedar penularan Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, melalui hebahan itu, jemaah yang bergejala amat digalakkan menggunakan pelitup muka dan peralatan kesihatan termasuk pembasmi kuman.

Dalam pada itu, Imam Tua, Masjid Jamek Sultan Muhamad III, Pasir Mas, Wan Saifuddin Wan Abdul Ghani pula memberitahu, masjid berkenaan sudah menerima pekeliling daripada MAIK dan terus memaklumkan kepada jemaah.

Jelasnya, usaha segera MAIK dapat membantu pihak masjid dan jemaah mengurangkan penularan dan peningkatan kes Covid-19.

"Sebelum ini, sudah ada jemaah yang mengambil langkah memakai pelitup muka tanpa arahan atau pemberitahuan pihak lain dan kita berharap ada juga kesedaran daripada jemaah di masjid ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

MAIK sebelum ini memaklumkan agar jemaah di kesemua 611 masjid di negeri ini digalakkan mengenakan pelitup muka bagi mengelak jangkitan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Khairul Azizi Mokhtar memberitahu, setakat ini pihak masjid tidak menyediakan pelitup muka tetapi memakainya atas kesedaran jemaah.

"Ada juga yang hanya memakai pelitup muka di masjid tetapi kita menggalakkan mereka memakai pelindung itu jika bergejala kerana mahu menjaga keselamatan dan kesihatan jemaah lain," katanya.

Tambah beliau, pihak masjid banyak memberi kesedaran melalui pengumuman dari semasa ke semasa kepada jemaah.