Jumlah mangsa banjir di Pantai Timur meningkat, Negeri Sembilan beransur pulih

Dua kanak-kanak bermain air di hadapan rumah selepas kawasan berkenaan dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Kepah pada Ahad. - Foto Bernama
Banjir gelombang ketiga yang bermula hari ini menyaksikan empat daerah di Terengganu terjejas.
Setakat jam 4 petang, seramai 686 penduduk daripada 217 keluarga berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dua kanak-kanak bermain air di hadapan rumah selepas kawasan berkenaan dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Kepah pada Ahad. - Foto Bernama Banjir gelombang ketiga yang bermula hari ini menyaksikan empat daerah di Terengganu terjejas. Setakat jam 4 petang, seramai 686 penduduk daripada 217 keluarga berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS). --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu dan Pahang terus meningkat pagi ini manakala keadaan bah di Negeri Sembilan beransur pulih.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,991 orang daripada 561 keluarga setakat 9 pagi ini berbanding 1,599 orang daripada 441 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kelantan, sebanyak 21 PPS dibuka melibatkan empat jajahan di negeri itu iaitu Pasir Mas (lima PPS), Tanah Merah (lapan PPS), Gua Musang dan Jeli masing-masing empat PPS.

Banjir gelombang ketiga di TERENGGANU pula semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di enam daerah setakat 8 pagi ini meningkat kepada 2,111 orang daripada 612 keluarga berbanding 826 orang daripada 253 keluarga malam tadi.

Menurut sekretariat JPBN Terengganu, Kemaman adalah daerah terbaharu dilanda banjir dengan seramai 349 mangsa daripada 110 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS malam tadi.

Dungun yang merupakan daerah paling terjejas pula, merekodkan seramai 1,149 mangsa daripada 299 keluarga ditempatkan di 21 PPS manakala di Hulu Terengganu, 393 mangsa daripada 148 keluarga berlindung di 10 PPS.

Selain itu, di daerah Setiu, seramai 189 mangsa daripada 48 keluarga berteduh di lapan PPS, di Marang, 12 mangsa daripada tiga keluarga berada di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai manakala di Besut pula seramai 19 keluarga daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Surau Perumahan Bukit Cina.

Menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di lapan stesen utama di lima daerah negeri ini mencapai paras bahaya.

Artikel Berkaitan:

Di Hulu Terengganu stesen terlibat termasuk Sungai Peneh di Felda Mengkawang, Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu manakala di daerah Setiu membabitkan stesen Sungai Nerus di Kampung Langkap.

Di daerah Dungun pula stesen terlibat iaitu Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau sementara di daerah Kemaman, Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Kemaman di Jambatan Kg Air Putih.

JPBNT menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah sekiranya diarah pihak berkuasa.

Di PAHANG, daerah Raub merupakan kawasan terbaharu yang dilanda banjir hari ini sekali gus menyaksikan pertambahan mangsa banjir di negeri ini kepada 230 individu daripada 55 keluarga dan ditempatkan di lima PPS berbanding 75 orang daripada 19 keluarga malam tadi.

Menurut aplikasi Info BencanaJKM sebanyak empat PPS telah dibuka di Raub iaitu Balai Raya Kampung Pamah Kulat yang menempatkan 55 mangsa banjir, Surau Kampung Peruas (65 orang), Rumah Pertanian Kampung Pamah Rawas (15 orang), Balai Raya Kampung Pamah Rawas (20 orang) manakala di Jerantut PPS SK Felda Kota Gelanggi 1, menempatkan 75 mangsa banjir.

Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my/ paras air di stesen Kuala Medang, Lipis dan Sungai Lembing, Kuantan telah melepasi paras bahaya.

Di NEGERI SEMBILAN, Pegawai Operasi APM Seremban, Lt (PA) Md Marisa Aminuddin berkata banjir di negeri itu beransur pulih dan 55 mangsa daripada 12 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Sungai Machang, Lenggeng, Nilai dijangka dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing tengah hari ini. - Bernama