Menara Ilham: Biar SPRM siasat, 'orang besar' tak dilindungi - PM

Anwar ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menyita Menara Ilham di ibu negara membuktikan sistem penguatkuasaan negara ini tidak melindungi sesiapa yang terlibat dalam rasuah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, semua pihak hendaklah memahami dan memberi ruang kepada badan penyiasatan itu melaksanakan tugas termasuk jika siasatan melibatkan individu berpengaruh, berpangkat atau mempunyai kuasa besar.

Anwar berkata, sistem keadilan dan penguatkuasaan khususnya berkaitan integriti mesti menunjukkan contoh dan berani untuk bertindak terhadap perasuah besar.

"Biar SPRM jalankan tugas dia dan tidak kiralah kedudukan sesiapa pun... kalau tidak (siasatan terpilih) nanti, (umum) akan kritik ikan kecil (orang biasa) ditangkap, tapi kepala (individu berpengaruh) tak disentuh.

"Biarlah ada siasatan supaya pemimpin tidak dilihat dilindungi kuasa besar.

"Itu tanggungjawab SPRM untuk jalankan tugas dan siasatan,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara, di sini hari ini.

Perdana Menteri turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang tafsiran atau tanggapan seolah-olah kerajaan mempunyai muslihat tertentu apabila terdapat siasatan melibatkan individu berpengaruh.

"Jangan buat tafsiran setiap kali sentuh (siasat) orang besar (individu berpengaruh) makna kita (kerajaan) ada muslihat, kalau orang kecil tiada apa-apa pulak (ada muslihat)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata demikian sebagai mengulas tindakan SPRM yang menyita Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikatakan dimiliki keluarga seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan baru-baru ini.

Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat bertarikh 18 Disember lepas itu, ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya, SPRM Ahmad Akram Gharib, disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita semalam.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, sebarang penganugerahan dan pelaksanaan projek Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi sistem kutipan tol di lebuh raya adalah dibuat mengikut proses biasa dan telus.

"Ia akan melalui proses biasa, tidak ada asas atau apa pun untuk menganggap bahawa proses itu akan melalui proses rundingan terus. Tidak.

"Ia perlu melalui proses yang sewajarnya dan telus seperti yang telah dijelaskan sebelum ini," kata beliau.

Anwar mengulas laporan media mengenai 'perjanjian pelantikan' penganugerahan konsesi untuk projek plaza tol MLFF yang ditandatangani antara kerajaan sementara dan sebuah syarikat swasta, dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi baru-baru ini berkata, penganugerahan projek itu masih belum dimuktamadkan.

Mengulas mengenai pengumuman tarif elektrik petang ini, Perdana Menteri berkata, semua pengumuman berkaitan pemberian subsidi bersasar adalah demi kebaikan dan berita baik untuk rakyat. - Bernama