Atlet perlu 'kebal' kritikan

Laporan Sukan Sinar pada 20 Disember.
Laporan Sukan Sinar pada 20 Disember.
A
A
A

PARA atlet perlu memiliki tahap kekuatan mental yang mantap dan berfikiran terbuka menerima sebarang kritikan demi kejayaan mereka dalam bidang sukan di pentas antarabangsa.

Penganalisis sukan, Dr Hasnul Faizal Hushin berkata, kritikan wajar dilihat sebagai satu pendekatan yang membina kepada atlet dan mereka perlu belajar melihat teguran untuk membantu mereka berubah.

“Atlet perlu berfikiran terbuka dan melihat teguran atau kritikan ke arah yang lebih positif.

“Ia bergantung kepada kemampuan psikologi atlet untuk menukar teguran bagi membantu membuat perubahan untuk meningkatkan prestasi mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dr Hasnul.
Dr Hasnul.

Beliau mengulas prinsip Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk tidak memanjakan mana-mana pemain yang dilihat boleh memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata, pendekatan memanjakan pemain boleh 'membunuh' karier pemain itu sendiri selain akan merencatkan proses pembangunan skuad kebangsaan.

Dr Hasnul yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, kemahiran mental menerima kritikan ini amat penting buat atlet.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mereka perlu berupaya menggunakan kritikan sebagai satu elemen untuk meningkatkan prestasi dan bukan serangan yang menjatuhkan.

“Ada atlet takut untuk berdepan dengan kritikan kerana sifat dan ciri-ciri yang wujud dalam diri mereka termasuk takut diri mereka dinilai (being judge)

“Wujud keraguan dalam diri, sikap bahawa mereka ada perfectionist standard dan takut mereka dikatakan jadi punca kekalahan. Sebab Itu mereka sukar terima kritikan,” katanya.

Justeru Dr Hasnul menggesa agar atlet perlu memiliki kemahiran mental yang baik dengan meningkatkan kemampuan psikologi mereka.

“Sekiranya semua sudah diterapkan, apa lagi yang diperlukan?, buktikan dengan kejayaan. Tutup mulut pengkritik dengan pingat dan trofi.

“Jika tidak mampu, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah perlu memulakan tindakan yang bersesuaian untuk merombak program latihan dan pembangunan secara keseluruhan,” katanya.