IOC kurangkan jumlah atlet Rusia sertai Olimpik Paris 2024

Sukan Olimpik Paris 2024 - Foto AFP
Sukan Olimpik Paris 2024 - Foto AFP
A
A
A

SERAMAI enam atlet Rusia dan lima atlet Belarus telah dibenarkan bertanding dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris, menurut kenyataan terkini Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), lapor Sputnik.

"Dalam kalangan 4,600 atlet dari seluruh dunia yang layak ke Olimpik Paris 2024 setakat ini hanya terdapat 11 atlet neutral individu (enam dengan pasport Rusia manakala lima dengan pasport Belarus)," menurut kenyataan itu.

IOC pada 8 Disember mengumumkan penyertaan atlet Rusia dan Belarus ke Sukan Olimpik Paris dalam status berkecuali jika beberapa kriteria dipenuhi.

Di samping itu, atlet-atlet terlibat akan dilarang daripada memakai sebarang simbol yang dikaitkan dengan negara asal mereka, tiada bendera, lagu kebangsaan, warna atau sebarang pengenalan lain mengenai Rusia atau Belarus akan dipaparkan pada Sukan Olimpik di Paris.

Larangan itu juga terpakai kepada penonton. Atlet-atlet yang menyokong perang di Ukraine juga tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik 2024.

Sebelum ini, lapan warga Rusia dan tiga dari Belarus dibenarkan menyertai Sukan Olimpik sebagai atlet neutral.

Sukan Olimpik 2024 di Paris akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024. - Bernama

Artikel Berkaitan: