PM bukan Melayu: Wan Ahmad Fayhsal selesai beri keterangan

Tangkap layar hantaran Wan Ahmad Fayhsal di Facebook pada Khamis.
Tangkap layar hantaran Wan Ahmad Fayhsal di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan Perdana Menteri kepada orang Melayu-Islam sahaja.

Perkara tersebut dimaklumkan beliau sendiri menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, beliau dipanggil untuk menjelaskan mengenai hantaran yang dibuatnya di Facebook, Twitter dan Instagram tentang saranan tersebut berikutan laporan polis yang dibuat DAP Sarawak.

“Ini bukan perkara baharu kerana Undang-Undang Tubuh Negeri juga meletakkan syarat yang sama mengenai kelayakan menjadi menteri besar.

“Atas semangat ini saya cadangkan kepada Perdana Menteri untuk membuktikan kepada orang Melayu yang semakin tidak mempercayai beliau supaya kedaulatan kepimpinan Melayu dipelihara di bawah Kerajaan Madani.

“Jadi, saya beri kerjasama penuh tapi nampaknya ada orang yang koyak dan cuba mengapi-apikan dengan melemparkan tuduhan tidak berasas kepada diri saya dan Bersatu,” katanya.

Pada Khamis, Wan Ahmad Fayhsal berkata, dua syarat perlu dipenuhi mana-mana pemimpin bukan Melayu jika mahu diterima sebagai Perdana Menteri di negara ini iaitu beragama Islam, dan fasih dalam mengamalkan budaya serta adat istiadat orang Melayu.

Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu hadir selepas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menegaskan tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak bahkan, polis turut merakam keterangan Kit Siang berhubung kenyataan tersebut.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, pihak yang mengatakan cadangan beliau sebagai aparteid adalah tidak bertanggungjawab malah mencabar kedudukan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau betul, bawa ke mahkamah dan cabar Undang-Undang Tubuh Negeri yang meletakkan syarat sama.

“Harus ingat, orang-orang Melayu memilih pemimpin bukan atas dasar sekular politik tetapi disebabkan agama (pemimpin).

“Ini bukan perkara baru, yang mana mempersoalkan bermakna mereka tidak memahami sejarah tanah air dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.