Dua syarat jika bukan Melayu mahu diterima jadi PM - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Dua syarat perlu dipenuhi mana-mana pemimpin bukan Melayu jika mahu diterima sebagai Perdana Menteri di negara ini iaitu beragama Islam, dan fasih dalam mengamalkan budaya dan adat istiadat orang Melayu.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, agama dan politik tidak boleh dipisahkan dan majoriti orang Melayu serta umat Islam memilih pemimpin antaranya disebabkan atas tuntutan agama.

Menurutnya, politik juga bukan hanya tentang idealisme tetapi berkait dengan setempat, budaya dan agama.

"Dua syarat ini penting iaitu agama Islam dan adat istiadat Melayu, kalau pemimpin mualaf berbangsa Cina atau India atau apa sahaja bangsa yang ingin menjadi pemimpin nombor satu kita dan diterima oleh pengundi-pengundi Melayu.

"Pemimpin bukan Melayu itu haruslah berupaya mengamalkan adat istiadat orang Melayu. Pertamanya Bahasa Melayunya mesti cukup fasih, mengetahui adat asas budaya orang Melayu sehinggakan orang Melayu sendiri merasakan beliau sebahagian daripada masyarakat dan kaum Melayu," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, dalam kenyataannya menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Perkara itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak bahkan, polis turut merakam keterangan Kit Siang berhubung kenyataan tersebut.

Menerusi catatan terbaharu di blognya pada Sabtu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, adalah mustahil untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, jika tidak mempunyai sokongan sejumlah besar kaum dalam negara, terutama sekali daripada orang Melayu biarpun tiada larangan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bukan Melayu memegang jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Wan Ahmad Fayhsal menambah, orang Melayu tidak rasis dan prinsip asas yang sebut Kit Siang boleh diterima.

Namun katanya, syarat yang perlu dipenuhi amat mencabar untuk parti-parti yang bukan berasaskan nasionalisme Melayu.

"Kerana kita pun tahu dalam Islam dan psikologi manusia, kita ada daripada segi kumpulan solidariti, daripada segi fiqah, siasah melibatkan tuntutan agama dan juga keadaan semasa sekeliling yang menentukan membentuk masyarakat yang ada di sesebuah tempat," katanya.