'Tak perlu PKP, kita bukan berada peringkat awal Covid-19' - Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dr Noor Hisham - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes Covid-19 buat masa ini.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP hanya perlu dilaksanakan pada peringkat awal fasa Covid-19.

"Sekarang ini memang kes Covid-19 meningkat, tetapi tidak timbul lagi isu PKP sebab kita bukan dalam fasa awal, tetapi kita dalam fasa mitigasi.

"Sekarang virus itu sudah pun berada di sekeliling kita," katanya pada Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19 anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di UiTM Shah Alam di sini pada Khamis.

Tambah Dr Noor Hisham, orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan tersebut kerana majoriti rakyat sudah divaksin.

"Sekiranya anda dijangkiti Covid-19, lakukan kuarantin kendiri di rumah selama lima hari dan jangan ke tempat awam, serta pakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak dan sentiasa mencuci tangan," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini KKM mengambil pendekatan memperkukuhkan pelan pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama iaitu. pengesanan awal; pemerkasaan komuniti melalui TRIIS; pemantauan fasiliti kesihatan; komunikasi risiko berkesan dan pendigital sistem kesihatan melalui MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

Noor Hisham Abdullah (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama pensyarah dan pelajar pada Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19 di UiTM Shah Alam pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Noor Hisham Abdullah (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama pensyarah dan pelajar pada Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19 di UiTM Shah Alam pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Susulan itu, kata Dr Dzulkefly, tiada perancangan untuk KKM memperkenalkan semula sebarang sekatan atau PKP, biarpun terdapat peningkatan jumlah kes Covid-19 baharu yang dicatatkan.

Mengenai situasi semasa, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 20,696 kes baharu dicatat bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50, peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding berbanding ME sebelumnya, dengan majoriti terdiri daripada kes kategori 1 dan 2.

Daripada keseluruhan kes baharu beliau berkata, 20,677 kes tempatan (97.1 peratus) melibatkan warganegara Malaysia dan 609 kes tempatan (2.9 peratus) bukan warga negara), manakala 19 kes import melibatkan 18 warga negara.

Sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 96 kes memerlukan bantuan pernafasan, selain 28 kes kematian dicatatkan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pada ketika ini, lebih 80 peratus rakyat negara ini sudah mengambil vaksin Covid-19, justeru negara ini sudah mencapai imuniti kelompok.