Tiada cadangan laksana PKP - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk mengulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang lonjakan jangkitan Covid-19.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama.

"Malaysia kini sedang menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang mendadak. Ini kita akui.

"KKM harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP yang berlaku awal pandemik Covid-19," katanya pada sidang media khas di sini pada Isnin.

Menurutnya, strategi tersebut melibatkan pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-COV-2 melalui sistem amaran awal.

"Ini sangat penting yang mana kita sentiasa memantau situasi menerusi sistem amaran awal," katanya.

Beliau berkata, pemantauan akan turut dilakukan terhadap Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) serta persekitaran air kumbahan di dalam komuniti dan pintu masuk antarabangsa.

"Kita akan berjaga-jaga dan ia adalah salah satu daripada strategi yang digariskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Dr Dzulkefly menasihatkan orang ramai agar segera melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara kendiri sekiranya bergejala.

"Jangan ambil mudah terutamanya jika kita mempunyai komorbiditi iaitu tekanan darah tinggi, kanser dan diabetes," katanya.

Mengulas mengenai angka jangkitan Covid-19, beliau berkata, sebanyak 20,696 kes baharu dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME50) dari 10 hingga 16 Disember iaitu peningkatan sebanyak 62.2 peratus.

"Daripada jumlah kes baharu dilaporkan, sebanyak 20,077 kes atau 97 peratus berada pada kategori satu dan dua.

"Seramai 151 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, bagi tempoh yang sama, sebanyak 28 kes kematian dilaporkan.

"Ia melibatkan 85 peratus pesakit berusia 60 tahun ke atas dan 93 peratus mempunyai komorbiditi," katanya.