'Tutup Parlimen' cabaran perit kendali Covid-19 - Dr Noor Hisham


Dr Noor Hisham - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Noor Hisham - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan menutup Parlimen semasa penularan Covid-19 ketika pemerintahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, merupakan satu keputusan yang mencabar untuk dilaksanakan.

Mendedahkan perkara itu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan yang dibuat olehnya itu menyebabkan beliau diserang oleh pelbagai pihak terutamanya daripada pembangkang.

Jelasnya, keputusan itu dilakukan selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen ketika itu.

"Adakah penutupan Parlimen ketika itu merupakan satu keputusan politik atau satu perkara yang perlu dilakukan? Ini tanggungjawab saya.

"Kalau kita tidak tutup, jika berlaku kematian siapa yang bertanggungjawab? Mestilah saya.

"Jadi bagi saya keputusan penutupan Parlimen itu satu keputusan yang amat perit (untuk dilakukan) tetapi semasa saya dihentam kiri dan kanan, saya ambil pendekatan berdiam sahajalah," katanya pada Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19, anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) di UiTM Shah Alam, di sini pada Khamis.

Terdahulu semasa keputusan itu dilakukan,Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan agar semua sesi mesyuarat dalam persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu bermula 29 Julai 2021.

Susulan itu, seramai 107 ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal memasuki bangunan Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut mengecam dan mengkritik keputusan berkenaan.

Sesi perkongsian oleh Dr Noor Hisyam ia dikendalikan oleh moderator Aris Abdul Rahman pada Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19, anjuran FKPM UiTM Shah Alam pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sesi perkongsian oleh Dr Noor Hisyam ia dikendalikan oleh moderator Aris Abdul Rahman pada Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19, anjuran FKPM UiTM Shah Alam pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Katanya, bagaimanapun beliau tidak berasa ralat membuat syor berkenaan kerana keputusan itu telah menyelamatkan banyak pihak ketika itu.

"Saya buat keputusan berdasarkan fakta. Selepas dua minggu ditutup, ia jelas merupakan satu keputusan yang betul.

"Bayangkan kalau kita tidak tutup (Parlimen) untuk dua minggu itu, mungkin lebih ramai yang akan dijangkiti dan mungkin juga akan berlaku kemalangan... tetapi selepas keputusan betul itu dibuat, tiada pula pembangkang datang minta maaf," katanya lagi.

Menyimpulkan semua cabaran semasa mengendalikan Covid-19, Noor Hisham berkata, perkara yang susah untuk dikendalikannya adalah krisis politik.

"Kerana krisis kesihatan kita boleh bendung menggunakan kaedah-kaedah kita," katanya lagi.

Beliau berbakti selama 35 tahun dalam sektor kesihatan dan bersara wajib pada April 2023.

Untuk rekod, bapa kepada enam anak berusia 60 tahun itu memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlang menyaksikan beliau berhadapan saat mencabar ketika negara berhadapan Covid-19.

Malah, beliau juga dianggap 'wira' rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.

Beliau dianggap 'wajah yang memberi keyakinan' oleh rakyat negara ini kerana usahanya memberikan maklumat terkini mengenai Covid-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Media sebelum ini juga ada melaporkan Dr Noor Hisham, dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.