SPRM kesan mangsa sindiket penjualan gelaran 'Datuk, Tan Sri' palsu

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih giat mengesan mangsa penipuan sindiket penjualan darjah kebesaran pingat persekutuan palsu yang ditumpaskan awal bulan ini.

Menurut sumber, difahamkan mangsa-mangsa ini telah diperdaya oleh seorang lelaki yang merupakan pemegang jawatan utama dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Lelaki tersebut telah disiasat oleh SPRM baru-baru ini, namun agensi penguat kuasa terbabit memerlukan mangsa-mangsa lain untuk tampil membantu siasatan," katanya pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti tujuh mangsa sindiket tersebut dengan lima daripada telah tampil memberi keterangan.

"Pihak kami percaya masih ada beberapa mangsa yang perlu tampil untuk membantu melengkapkan siasatan," ujarnya.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Aiman Jamil di talian 03-88700473 atau 017-2820484.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan SPRM menahan enam individu termasuk seorang presiden sebuah NGO yang disyaki terlibat dalam sindiket penjualan darjah kebesaran pingat persekutuan palsu, yang melibatkan bayaran kira-kira RM2 juta.

Empat lelaki termasuk presiden NGO berkenaan serta dua wanita yang berusia 30 hingga 50-an itu ditahan di lokasi berasingan iaitu Ibu Pejabat SPRM di sini dan Melaka antara 30 November dan 6 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Semua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penjualan darjah kebesaran pingat persekutuan palsu yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ dengan bayaran kira-kira RM2 juta, dan presiden NGO itu disyaki menjadi dalang utama.

Sindiket yang dipercayai mula aktif sejak 2020 itu mengenakan bayaran berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000, Datuk Seri RM250,000 manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.