Harga tiket Dinosaur Encounter ikut harga pasaran - Exco

Dinosaur Encounter di Pusat Komersial Silverlakes Village Outlet mula dibuka kepada orang ramai sejak 15 Disember lepas. Gambar kecil: Loh Sze Yee
Dinosaur Encounter di Pusat Komersial Silverlakes Village Outlet mula dibuka kepada orang ramai sejak 15 Disember lepas. Gambar kecil: Loh Sze Yee
A
A
A

IPOH - Harga tiket masuk ke Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter: Area 65 di Pusat Komersial Silverlakes Village Outlet (SVO) adalah mengikut harga pasaran, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.

Beliau berkata, Dinosaur Encounter itu yang mula dibuka kepada orang ramai sejak 15 Disember lepas belum siap sepenuhnya dan ia akan dibuka secara berperingkat.

"Kita biarkan pasaran yang tentukan (harga), sudah tentu apa kita lihat yang ada di situ sekarang sebenarnya belum siap sepenuhnya dan berfasa.

"Sekarang baru fasa pertama, mereka lakukan kerja-kerja pembinaan itu berkaitan khusus bersempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024, jadi sebenarnya ada fasa lain lagi," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Perak bersama Grab Malaysia bersempena TMP 2024 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan orang ramai di laman media sosial mengenai harga tiket masuk ke Dinosaur Encounter yang dikatakan mahal dan tidak berbaloi untuk dikunjungi, selain orang ramai berpendapat taman tema itu bakal menerima nasib sama seperti taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang ditutup pada 2019.

Dinosaur Encounter Area 65 beroperasi dari 11 pagi hingga 6 petang setiap hari Isnin hingga Khamis, manakala pada hujung minggu Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum dari 10 pagi hingga 7 malam, dengan harga tiket bagi dewasa ialah RM40, manakala kanak-kanak RM30.

Pada 15 Disember, Pengurus Besar Wegrow Global, Dr Anir Syazwan Sharbirin memaklumkan fasa pertama Dinosaur Encounter itu dijangka menarik kunjungan kira-kira 45,000 pelawat.

Menurutnya, Dinosaur Encounter itu merupakan taman dinosaur keenam di Malaysia yang mempamerkan konsep baharu iaitu kombinasi taman hiburan secara dalam dan luar bangunan yang bertaraf antarabangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan: