Harga tiket final Piala Malaysia kekal

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

HARGA tiket perlawanan akhir Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember depan kekal seperti final musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam juga menjelaskan, empat kategori tiket akan diagihkan secara sama rata kepada dua finalis Harimau Selatan kendalian Esteban Solari dan skuad Penyu pimpinan Tomislav Steinbruckner itu.

“Sama seperti perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum ini, tiket serendah RM50 dan RM70 dikekalkan untuk aksi final Piala Malaysia 2023 bagi kategori General Admission selain Premium Grandstand RM150 serta VIP Grandstand RM200.

“Penyokong-penyokong JDT dan TFC akan memiliki pilihan dengan penetapan empat ‘tier’ harga tiket ini justeru MFL mengharapkan agar mereka dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

“Bagi proses penjualan tiket final Piala Malaysia 2023, MFL seperti mana sebelum ini menyerahkan sepenuhnya urusan itu kepada pasukan finalis bagi memastikan mereka dapat menjual tiket kepada penyokong-penyokong dengan sistematik dan sama rata,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai proses jualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan oleh pihak JDT dan TFC dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan: