DBKL peruntuk RM2.66 bilion untuk Belanjawan 2024

Kamarulzaman ketika sidang media sempena Belanjawan DBKL 2024 pada Rabu. - Foto Bernama
Kamarulzaman ketika sidang media sempena Belanjawan DBKL 2024 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM2.66 bilion bagi Belanjawan 2024 untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan dan kemakmuran warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, belanjawan yang bertemakan 'Aspirasi Madani, Bandar Raya Lestari' itu merangkumi RM2.01 bilion atau 75.6 peratus untuk mengurus dan RM65 juta atau 24.4 peratus untuk pembangunan ibu kota.

Beliau berkata, secara keseluruhan belanjawan tersebut adalah merupakan belanjawan defisit berjumlah RM275.9 juta, namun bagi mengimbangi defisit tersebut, DBKL mengambil pendekatan untuk meningkatkan hasil melalui penjanaan hasil baharu.

"Antaranya seperti mengenakan caj RM1 bagi setiap perjalanan kepada bukan warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas GOKL mulai 1 Januari tahun depan dan pengenaan pelbagai fi ke atas perkhidmatan yang diberi atau disediakan oleh DBKL melalui Undang-Undang Kecil Fi (Wilayah Persekutuan) 2022 yang dijangka diwartakan pada tahun depan.

"Selain itu, DBKL akan turut memperkasakan kaedah mengutip tunggakan hasil seperti pembayaran ansuran tunggakan cukai taksiran melalui kad kredit tanpa faedah, pelaksanaan Task Force kutipan tunggakan sepanjang tahun dan penguatkuasaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2024 di sini, pada Rabu.

Kamarulzaman berkata, Belanjawan 2024 merangkumi 11 program utama antaranya mitigasi banjir dengan jumlah peruntukan RM170.5 juta, penyelenggaraan jalan raya (RM40 juta), program Rendah Karbon (RM55.9 juta), pembinaan dan naik taraf pusat penjaja (RM55.8 juta) dan projek perumahan Rumah Majlis (RM125 juta).

Selain itu, tidak ketinggalan ialah peruntukan bagi aktiviti penggalakan pelancongan (RM5.6 juta), program Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) (RM68 juta), pengindahan landskap, taman-taman awam, pembersihan bandar,pengindahan bangunan warisan (RM428.6 juta) dan program kebudayaan, kesenian dan sukan (RM14.1 juta).

"Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang hanya berkeluasan 243.65 kilometer persegi dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dengan anggaran telah mencecah 1.99 juta orang pada tahun ini adalah menjadi cabaran besar kepada DBKL bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap yang cemerlang.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, belanjawan ini digarap untuk menjayakan misi DBKL menjadikan Kuala Lumpur bandar raya sejahtera untuk semua menerusi program pembangunan fizikal, sosioekonomi, kawalan perancangan dan perkhidmatan perbandaran secara terancang dengan tadbir urus yang cemerlang,” katanya. - Bernama