Belanjawan 2024: Penjawat awam terima RM2,000, pesara RM1,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua penjawat awam gred 57 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000.

Ia sekali gus menjadikan jumlah bayaran tertinggi diputuskan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran itu akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak- anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.

"Jawatan utama sektor awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform pula menerima RM1,000 manakala bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen," katanya

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012.

"Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan," katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.

Artikel Berkaitan:

"Tahun hadapan, kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus.

"Saya menyeru untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran terutamanya syarikat mempunyai keuntungan yang munasabah," katanya.