Agenda ekonomi bumiputera: Kerajaan tak akan tunggang nama Melayu - Rafizi

Tangkap layar hantaran Rafizi Ramli di Facebooknya pada Rabu.
Tangkap layar hantaran Rafizi Ramli di Facebooknya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak akan 'menunggang' nama Melayu untuk kepentingan pihak tertentu, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Respon tersebut sebagai menyelar tindakan pembangkang yang sering mempersoalkan agenda ekonomi bumiputera di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

“Saya faham lenggok pertanyaan tersebut, konon untuk menunjukkan mereka membela Melayu. Ikut hati, saya ingin jawab mudah sahaja, ‘insya-ALLAH kami tidak akan menunggang nama Melayu untuk beberapa kerat rembat duit Jana Wibawa yang akhirnya di Ali Baba kan kepada syarikat bukan Melayu’.

“Semua pentadbiran Kerajaan Persekutuan mengaku ada agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera. Soalnya adalah bagaimana, supaya ia mencapai matlamat dan membawa kebaikan kepada negara keseluruhannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Justeru, Rafizi menjelaskan, kerajaan akan meningkatkan sumbangan dalam sektor berkenaan menerusi pemerkasaan perniagaan bumiputera dan penskalaan perniagaan mikro, kecil serta sederhana.

Katanya, jumlah perusahaan bumiputera adalah besar tetapi sumbangan ekonominya masih terdapat jurang secara relatif.

“Lebih sejuta entiti perniagaan di negara ini dan hanya tiga peratus sahaja syarikat besar, sementara sekitar dua peratus adalah sederhana dan hampir 15 peratus bersaiz kecil, manakala 80 peratus membabitkan perusahaan mikro.

“Majoriti pemilik entiti perniagaan mikro dan kecil merupakan peniaga bumiputera, iaitu sekitar 95 peratus daripada syarikat berdaftar,” ujarnya..

Artikel Berkaitan:

Beliau sebelum ini mengingatkan penerima geran Bantuan Teraju agar pemilik perniagaan bumiputera untuk sentiasa berdaya saing dan mampu berdiri sendiri.

Tambah Rafizi, pendekatan baharu perlu digunakan sewaktu perangkaan dasar-dasar bagi memastikan usaha tersebut dapat direalisasikan.

“Mesej saya kepada perniagaan bumiputera yang mendapat bantuan agensi kerajaan adalah fokuskan kepada 3P iaitu ‘product, problem, people’.

“Hanya perniagaan sama ada produk atau perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggan akan berdaya tahan dan berkemampuan untuk diskalakan,” jelasnya.

Ujarnya, sementara agensi kerajaan terus membangunkan program untuk membantu ekosistem perniagaan bumiputera, peniaga perlu mengembangkan perniagaan mereka berasaskan 3P bagi mengelakkan tragedi Jana Wibawa berulang kembali.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!