Didenda RM9,000, penalti khas RM536,549 culas bayar cukai

Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Rabu.
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengarah syarikat pembinaan didenda RM9,000 dan diarah membayar penalti khas RM536,549.13 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu selepas mengaku salah gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dua tahun berturut-turut.

Orang Kena Saman (OKS), Nur Faraziela Mohamad, 42 turut berdepan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu OKS perlu menjelaskan cukai tertunggak pada 2019 dan 2020 sebanyak RM178, 849.71.

Prosiding pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan di hadapan Majistret Yuhanis Mohd Roslan.

Mengikut pertuduhan, OKS yang merupakan pengarah dan pemegang saham majoriti syarikat mempunyai pendapatan perniagaan menerusi beberapa projek pembinaan bangunan dan infrastruktur di negeri itu.

Bagaimanapun, OKS didapati gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang C) bagi tahun taksiran 2019 dan 2020 yang mana syarikat berkenaan perlu mengemukakan borang tersebut sebelum 31 Januari pada tahun berikutnya.

Pendapatan bercukai pada tahun 2019 dan 2020 masing-masing sebanyak RM28,083 dan RM900,315 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM4,774.11 dan RM174,075.

Pendakwaan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN, Noor Mazida Buliami.

Difahamkan, kes berkenaan melibatkan siasatan pendakwaan yang pertama di Terengganu.