Perniagaan milikan tunggal paling ramai culas bayar cukai

Norfaidah (dua dari kiri) melepaskan konvoi LKH 2.0 di Menara Hasil Lokaliti Bukit Mertajam pada Isnin.
Norfaidah (dua dari kiri) melepaskan konvoi LKH 2.0 di Menara Hasil Lokaliti Bukit Mertajam pada Isnin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM- Perniagaan milikan tunggal dikenal pasti sebagai golongan yang paling ramai mengelak untuk membayar cukai di Pulau Pinang.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang, Norfaidah Daud berkata, mengikut rekod, perniagaan milikan tunggal didapati mempunyai kadar ketidakpatuhan tertinggi.

“Akaun mereka didapati tidak teratur berbanding perniagaan lain.

“Kita perlu memperbaiki perkara itu agar kumpulan ini membayar cukai sebagaimana yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Lawatan Konsultasi Hasil (LKH) 2.0 di Menara Hasil Lokaliti Bukit Mertajam pada Isnin.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai jumlah atau peratusan perniagaan milikan tunggal yang tidak membayar cukai pada tahun lalu dan tahun ini.

Tambahnya, seramai 958,743 pembayar cukai di Pulau Pinang direkodkan pada tahun lalu.

"Kutipan cukai untuk negeri ini pada tahun lepas ialah RM6.8 bilion. Pulau Pinang merupakan negeri kedua dengan kutipan cukai tertinggi di negara ini selepas Sarawak.

"Kami menyasarkan kutipan cukai lebih RM7 bilion tahun ini. Bulan lepas, kami menyumbang 4.78 peratus daripada jumlah kutipan negara.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun lalu, Pulau Pinang menyumbang 3.87 peratus daripada kutipan cukai di seluruh negara," katanya.

Pada Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, kutipan cukai menunjukkan trend positif dengan kutipan harian mencatatkan peningkatan 20 peratus tahun ini berbanding tahun lepas.

Beliau berkata, jika trend positif itu berterusan, LHDN boleh mencapai atau melebihi sasaran kutipan hasilnya sebanyak RM176.1 bilion tahun ini.

Tahun lalu, LHDN merekodkan kutipan cukai langsung yang tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM175.4 bilion, meningkat 21.75 peratus berbanding 2021.

Dalam pada itu, Norfaidah berkata, LKH 2.0 yang dijalankan bermula Isnin hingga Khamis akan melibatkan 215 premis di seluruh negeri ini.

"Objektif LKH 2.0 ini adalah mewujudkan rasa keberadaan pasukan HASiL dalam kalangan pemain industri, memahami aktiviti perniagaan yang dijalankan dan cabaran yang dihadapi.

"Selain itu, ia bertujuan untuk memberi khidmat nasihat percukaian yang relevan kepada pembayar cukai, melengkapkan proses tindakan undang-undang serta mempromosikan program LKH 2.0," katanya.

Jelasnya, pelaksanaan LKH 2.0 juga bertujuan untuk memastikan semua perniagaan berdaftar membayar cukai mereka.